• Mohd Khairuddin Othman
1 / 1
SHAH ALAM - Pas Selangor menggesa polis segera menyiasat insiden serangan ke atas Dr Dzulkefly Ahmad yang mengakibatkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu cedera, awal pagi ini.

Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan jenayah.

“Pas Selangor memandang serius kes pukul yang mencederakan Dr Dzulkefly Ahmad. Kita tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan jenayah dan kita minta polis menyiasat kejadian tersebut.

“Kita mahu pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Dzulkefly atau lebih mesra disapa Dr Dzul dilaporkan cedera akibat dipukul ketika mahu pulang selepas menunaikan solat Subuh, pagi tadi.

Menurut Khairuddin, beliau yakin tiada mana-mana ahlinya di Selangor yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Kita tahu ia adalah tindakan provokasi orang tertentu dengan motif tertentu dan kita yakin ia tidak melibatkan ahli kita di Selangor.

“Pas Selangor minta ahli-ahli Pas di Selangor supaya memantau dan memberi maklumat kepada pihak polis sekiranya ada cubaan untuk memprovokasi atau mengancam mana-mana ahli atau pimpinan parti.

“Bagi pihak kepimpinan Pas Selangor mendoakan semoga Dr Dzulkefly Ahmad segera sembuh dan di dalam perlindungan ALLAH sentiasa,” katanya.