• PRK Dun Chempaka
1 / 1
DUN Chempaka (N6) adalah salah satu kawasan dalam Parlimen Pengkalan Chepa (P20), yang mempunyai hampir 22,000 pengundi, majoritinya Melayu dan sedikit pengundi Cina.

Dun ini wujud kira-kira 25 tahun lalu bersama Kijang dan Panchor selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula.

Dun Chempaka dengan keluasan 29.75 kilometer persegi mempunyai 10 peti undi terdiri daripada Chempaka, Tanjung Baru, Che Deris, Kampung Pulau Panjang, Teluk Kitang, Tebing Tinggi, Sabak, Pulau Gajah, Baung dan Pengkalan Nangka.

Terletak dalam jajahan Kota Bharu, penduduk Dun Chempaka rata-rata bekerja sebagai penjawat awam dan swasta, peniaga, petani serta nelayan.

Dun Chempaka mempunyai tarikan tersendiri kerana menempatkan Lapangan Terbang Sultan Ismail Perta yang merupakan salah satu mercu kebanggaan negeri dan antara pintu utama kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.

Di dalam Dun ini juga, terdapat kawasan perindustrian yang cukup luas iaitu Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 1 dan 2 yang menjadi sumber pendapatan sebahagian besar penduduk di Kota Bharu dan jajahan sekitar.

Malah, Pantai Sabak yang turut berada di Dun Chempaka ini juga menyimpan 1,001 sejarah apabila menjadi lokasi pendaratan pertama tentera Jepun di Tanah Melayu pada 7 Disember 1941.


Sinonim dengan arwah Tok Guru

Dun Chempaka dikatakan begitu sinonim dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Adun pertama di kawasan itu sejak persempadanan semula kira-kira 25 tahun lalu hingga ke akhir hayatnya, 12 Februari lalu.

Mendapat jolokan ‘kubu warisan Pas’, selepas 25 tahun Allahyarham Nik Abdul Aziz berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai Adun di kawasan itu tanpa sedikit pun mampu digoyahkan parti lawan walaupun selepas lima penggal melalui fasa PRU bermula 1990 (PRU8) sehingga PRU13, dua tahun lalu.

‘Dun Tok Guru’ ini pastinya mempunyai keunikan tersendiri walaupun setiap kali PRU, ia ditentang hebat parti lawan, namun kesetiaan pengundi di kawasan berkenaan tidak boleh dipandang enteng kerana mereka sentiasa bersatu dan mempunyai hubungan yang cukup erat dengan Adun mereka.

PRK Dun Chempaka pada 22 Mac depan bakal menjadi PRK kelapan, selepas PRU13 pada 5 Mei 2013, berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Nik Abdul Aziz akibat kanser prostat.
Pada PRU13, Nik Abdul Aziz (Pas) menang dengan majoriti 6,500 undi menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak apabila meraih 12,310 undi.

Tak pernah abaikan rakyat
Bekas wakil peribadi Adun Chempaka, Hassan Mamat berkata, walaupun mempunyai pemimpin yang pada masa sama turut menggalas tanggungjawab sebagai menteri besar, namun komitmen terhadap rakyat tidak pernah diabaikan.

“Setiap tiga kali dalam sebulan, Allahyarham akan berkongsi ilmu melalui ceramah agama yang diadakan di tiga masjid di Dun ini secara bergilir-gilir, malah dalam tempoh pentadbirannya juga, Allahyarham tidak pernah solat Jumaat di luar kawasan, kerana Allahyarham mahu bersama rakyatnya,” katanya.

Hassan berkata, sebelum persempadanan semula yang membawa kepada kewujudan Dun Chempaka, kawasan berkenaan terdiri dari Dun Semut Api, Kemumin dan Sering.

Menurutnya, ketika itu Allahyarham menjadi Adun Semut Api dan mempertahankan Dun berkenaan selama tiga penggal.

Bercakap mengenai pembaharuan dan usaha Pas selama 25 tahun berada di Dun Chempaka, kemudahan untuk keselesaan rakyat di kawasan tersebut sentiasa diberi perhatian termasuk dengan pembinaan Jambatan Lapan Pari, Jambatan Tok Sadang dan projek memperbaharui jalan kampung.

“Sepanjang tempoh itu juga, kira-kira 30 rumah dhuafat dibina untuk memberi keselesaan kepada rakyat kurang berkemampuan, selain bantuan kifalah dan sumbangan Skim Al-It’am kepada 100 penerima setiap bulan,” katanya.

Dalam pada itu, antara kekuatan yang mungkin mengikat rakyat di kawasan berkenaan untuk bersama-sama Pas ialah usaha menghidupkan surau dan madrasah yang dilakukan, apabila kira-kira 95 peratus daripadanya dihidupkan dengan aktiviti ibadat, sama ada tazkirah dan majlis perkongsian ilmu.