• Pas
1 / 1
Bahagian 1

Dalam 64 tahun usianya, Pas sudah banyak kali dilanda konflik. Meskipun demikian, parti itu terus kekal wujud hingga hari ini.

Pada peringkat awal penubuhannya, pengasas Pas, Haji Ahmad Fuad Hassan sendiri keluar meninggalkan parti apabila mesyuarat agung khas untuk membuat keputusan sama ada Pas akan menyertai National Convention yang dianjurkan Tunku Abdul Rahman ataupun National Conference yang dibawa oleh Datuk Onn Jaafar, tidak berpihak kepadanya.

Ahli Pas membuat keputusan untuk bersama dengan Tunku sedangkan Haji Ahmad Fuad sendiri lebih cenderung kepada Datuk Onn. Beliau meninggalkan Pas sama seperti Datuk Onn meninggalkan Umno yang diasaskannya.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, Pas bawah pimpinan Datuk Asri Muda menyertai Perikatan selepas mendapat persetujuan dalam satu mesyuarat agung khas dengan majoriti kecil. Keputusan itu turut membawa pengunduran beberapa tokoh lama Pas yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

Pada 1977, Menteri Besar Kelantan, Datuk Muhamed Nasir yang kalah usul undi tidak percaya dan dipecat daripada jawatannya, menubuhkan Berjasa sebagai parti serpihan Pas. Setahun kemudian, Pas yang dinyah keluar dari perikatan BN, turut kehilangan pemerintahan di Kelantan.

Muktamar Dewan Pemuda Pas pada tahun yang sama meluluskan usul supaya pemilihan kepimpinan parti itu dilakukan secara syura dan ulama diberi kedudukan yang lebih penting.

Usul itu dibawa oleh Datuk Nakhaie Ahmad dan dinilai oleh sesetengah pihak seperti menyindir Yang Dipertua Agung (Presiden) waktu itu, Datuk Asri yang berperwatakan nasionalis islamis, bukan ulama sepenuhnya. Pada era kepimpinan Asri, ulama dianggap kumpulan kelas dua walaupun Pas pada namanya adalah sebuah parti Islam.

Seiring dengan usul itu, Pemuda Pas menubuhkan jawatankuasa khas menapis kelayakan calon yang bertanding dalam pemilihan dianggotai (Datuk) Nik Abdul Aziz Nik Mat, (Datuk) Fadzil Nor dan (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang. Calon yang mahu bertanding disyaratkan memenuhi kriteria keperibadian Islam, adil dan kemampuan untuk berijtihad.

Seterusnya, berlaku beberapa pertembungan dan konflik hingga akhirnya, pada muktamar agung 1982, Pemuda Pas menolak cadangan Jawatankuasa Pas Pusat untuk melantik Datuk Sudin Wahab, penyokong kuat Asri sebagai pengerusi tetap parti.

Asri sendiri memberi tindak balas dengan tidak menyampaikan ucapan dasar pada hari pertama muktamar. Beliau hanya berucap pada hari kedua, 23 Oktober 1982.

Sehari sebelum itu, 22 Oktober 1982, Pemuda telah membawa usul kepimpinan ulama dan juga penubuhan Majlis Syura Ulama selain usul supaya ucapan dasar Yang Dipertua Agung ditolak.

Muktamar kemudiannya telah meluluskan ketiga-tiga usul itu sekali gus mencatat sejarah kali pertama usul Yang Dipertua (Presiden) ditolak dalam muktamar Pas.

Susulan itu, Asri mengemukakan surat peletakan jawatan dan Haji Yusof Rawa dilantik menggantikannya.

Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Pas yang mengadili kumpulan pro Asri, pada 23 Januari 1983 telah membuat keputusan memecat dua ahli termasuk Asri, lapan digantung keahlian manakala tiga lagi diberi amaran.

Inilah antara konflik terbesar pernah berlaku dalam sejarah Pas hingga hari ini.


Ancaman

Perpecahan Umno pada 1987 yang membawa penubuhan Semangat 46, turut membawa kesan tidak langsung kepada Pas. Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh Hamzah mengajak Pas berpakat dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama Berjasa, Hamim dan Kimma.

Kesemua parti yang bergabung dalam pakatan ini adalah parti Islam meskipun sedikit sebanyak ada perbezaan dalam ideologi perjuangan mereka.

Dalam satu pakatan lain, Semangat 46 bergabung dengan DAP, PBS (Parti Bersatu Sabah pimpinan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan), IPF (Indian Progressive Front pimpinan Tan Sri MG Pandithan) dan PSRM dalam Gagasan Rakyat. Kedua-dua pakatan ini mewarnai pentas politik tanah air pada pilihan raya umum 1990 dan 1995.

Peranan Semangat 46 dalam arena politik tanah air pada masa itu adalah seumpama PKR hari ini yang cuba untuk berperanan sebagai perantara menghubungkan dan menggabungkan Pas dengan DAP bagi membentuk ketumbukan politik yang kuat berhadapan dengan BN.

Akan tetapi, Pas bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Nor pada masa itu yang mungkin telah menghidu ancaman terhadap agenda perjuangan Islam jika parti itu bergabung secara langsung dengan DAP, hanya bersetuju untuk bersama dengan parti yang sealiran dalam APU.

Dengan itu, Semangat 46 terpaksa membuka khemah berasingan untuk pakatannya dengan DAP, PBS, IPF dan PSRM.

Dalam pada itu, satu rekod perpecahan telah terpalit pada Pas ekoran keakrabannya dengan Semangat 46. Beberapa pemimpin Pas Kelantan yang tetap melihat Semangat 46 hanya penjenamaan semula Umno yang sudah sekian lama mereka tentang, tidak dapat menerima parti Ku Li itu.

Kumpulan itu yang dikenali sebagai Pas 51 atau Gerakan Islah diketuai Yang Dipertua Pas Pasir Puteh, Cikgu Musa Salleh dan bekas AJK Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad.

Selain di Kelantan, mereka juga mendapat sokongan di beberapa negeri terutama Kedah dan Terengganu hingga menyaksikan pada pilihan raya 1990, mereka meletak calon Bebas di kawasan yang ditandingi Pas. Agenda kumpulan ini ialah untuk mengembalikan Pas ke landasan Islam seperti pada awal penubuhannya tahun 1951.

BERSAMBUNG