• Ahmad Fathan Ahmad Fathan
1 / 1
KUALA KRAI - Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai melihat pemilihan Bendahari Pas, Pengkalan Chepa, Ahmad Fathan Mahmood @ Mahamad sebagai calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil  (PRK) Dun Chempaka bersesuaian dengan latar belakang yang dimiliki calon itu.

Ketuanya, Nazman Che Iberahim berkata, Ahmad Fathan dilihat mempunyai pakej lengkap untuk meneruskan kepimpinan  Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita melihat latar belakang dimiliki calon lengkap sebagai seorang pemimpin baik dari segi akhlak, agama mahupun daya kepimpinan.

“Saya percaya, beliau akan mendapat sokongan akar umbi khususnya di Dun Chempaka,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, beliau dan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai menyokong calon diketengahkan parti dan mendoakan kejayaan calon.

Nama calon diumumkan Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan 1,000 penyokong di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), kelmarin.

Ketika ditanya Sinar Harian tentang pemilihan baharu Pas kawasan tidak lama lagi, Nazman menyerahkan kepada akar umbi untuk menentukannya dan beliau sendiri bersedia untuk dicalonkan semula sebagai Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Krai.

Katanya, beliau dan anak muda di Kuala Krai akan meneruskan tekad dan komitmen perjuangan Islam yang ditinggalkan arwah Tuan Guru bukan sahaja di Dun Chempaka tetapi juga di seluruh pelosok tanah air.

Ahmad Fathan dijangka berdepan pertandingan empat penjuru apabila tiga calon Bebas dijangkakan turut bertanding.

Mereka ialah Sharif Mahmood, dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat Kelantan, Fadzillah Hussin.

Selain daripada itu, seorang ahli perniagaan dari Pasir Puteh juga dijangka bertanding.

BN pula telah membuat pengumuman awal untuk tidak meletakkan calon sebaliknya menumpukan kepada usaha membantu mangsa banjir di seluruh Kelantan.