• Johari Abdul Johari Abdul
1 / 1
PETALING JAYA – Pas perlu tampil menjelaskan beberapa perkara berkaitan pembentangan hukum Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (hudud) yang didakwa bakal dilaksanakan di Kelantan.

Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata, tindakan Pas yang terus berdegil membentang usul hudud menyebabkan ramai pihak yang masih keliru memilih untuk menentang pelaksanaan hukum tersebut.

“Selama ini kami tidak pernah berikan sebarang komen kepada parti bersekutu. Tapi  hari ini kita tuntut Pas jelaskan perkara-perkara yang mengelirukan ramai pihak mengenai hukum tersebut.

“Saya sendiri pun tidak pasti mengenai perbentangan tersebut. Saya rasakan Pas harus lantik pegawai rasmi yang akan urus penjelasan mengenai hukum hudud kepada orang ramai khususnya masyarakat bukan Muslim di negara ini,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Dalam laporan Sinar Harian pada 23 Februari lalu, Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Pas bukan lagi sebahagian daripada ahli komponen PR sekiranya bertegas membenangkan rang undang-undang pindaan hudud di persidangan Dun Kelantan pada 18 Mac ini.

Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong mendakwa rang undang-undang itu tidak mendapat sokongan PR yang diwakili oleh PKR, Pas dan DAP.

Ditanya mengenai pendirian PKR dalam isu tersebut, Johari berkata, pihaknya masih belum pasti mengenai pelaksanaan hukum berkenaan yang dikatakan akan dilaksanakan di negeri Kelantan.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa Pas perlu tampil dengan penjelasan penuh berhubung enakmen tersebut.

“Kami tak mahu berikan apa-apa ulasan setakat ini. Kami mahu tahu dulu apa itu hudud sebenarnya. Kalau sudah tahu secara menyeluruh baru kami boleh berikan komen. Yang penting, lantik dahulu pegawai yang saya nyatakan itu.

“Ia penting supaya tidak berlakunya kekeliruan, salah faham atau salah tanggapan kepada parti tersebut. Mungkin ada antara kita (masyarakat) yang terdengar maklumat yang tidak betul dari sumber yang tidak rasmi dan memperbesarkan hukum ini atau membuat andaian sendiri sehingga menakutkan semua pihak.

"Jadi inilah gunanya pegawai tersebut, iaitu untuk menjernihkan kembali keadaan dan menjelaskan definisi sebenar hudud kepada semua pihak,” tegasnya lagi.