• Abdul Hadi Awang Abdul Hadi Awang
1 / 1
KUALA LUMPUR - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri Kelantan berhubung pembentangan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 kepada mesyuarat Majlis Pimpinan PR, esok.

"Saya baru balik dari umrah, saya akan dengar daripada Kerajaan Kelantan esok," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kehadiran tiga Exco Kerajaan Negeri Kelantan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR hari ini.

Pada mesyuarat itu, wakil kerajaan negeri Kelantan membentangkan cadangan pindaan enakmen hudud itu kepada wakil pemimpin tertinggi PKR dan DAP bagi sebelum undang-undang Islam itu boleh dilaksanakan di negeri itu.

Antara pimpinan PR yang hadir pada pembentangan hukum hudud Kelantan ialah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengakui beliau sudah pun melihat draf pindaan enakmen hudud Kelantan itu sebelum ini.

"Elemen baharu ialah kita melihat dari segi kesesuaian Perlembagaan kita (Pas) yang perlu dipinda, antaranya tentang kedudukan bukan Islam.

"Perlembagaan Pas tidak membenarkan kita menghukum orang bukan Islam kerana ia undang-undang syariah, tapi dalam pengajian Islam, orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada mereka mahu kepada undang-undang Islam atau undang-undang mereka sendiri," katanya lagi.