• Seminggu bersidang, Anwar sahajakah yang penting?Sidang Dewan Rakyat kecoh
 1 / 1 
PERSIDANGAN mesyuarat pertama bagi penggal ketiga Parlimen ke-13 yang telah membuka tirai sejak Isnin lalu menyaksikan suasana Dewan Rakyat 'panas' dengan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas gagal dalam usaha ‘membawa’ Anwar ke Parlimen, akhirnya Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengambil peluang menyelitkan sebahagian perutusan Anwar ke dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Selasa lalu.

Walau sudah diingatkan supaya membahaskan titah itu atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai bukannya mewakili Anwar, anak sulung Anwar itu nyata menggunakan sepenuhnya kebebasan dalam Dewan Rakyat berucap mewakili ayahnya.

Antara kandungan ucapan tersebut, Anwar melahirkan kekesalan susulan permohonannya untuk menghadiri sidang Parlimen tidak diluluskan Jabatan Penjara.

Sebelum selesai menyampaikan mesej Anwar itu, Nurul Izzah beberapa kali diingatkan agar tidak melanggar peraturan mesyuarat oleh Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Hari kedua perbahasan di Dewan Rakyat terus kecoh apabila pembangkang mendakwa ketidakadilan berlaku ke atas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang kemudiannya dibidas oleh pemimpin BN.

Berlaku pertikaman lidah antara Nurul Izzah dengan Datuk Seri Azalina Othman (BN-Pengerang) sewaktu bekas Menteri Belia dan Sukan itu bangkit untuk membahaskan titah YDPA.

Melalui hujahnya, Azalina meminta barisan pembangkang menerima dan menghormati keputusan mahkamah yang telah memutuskan Anwar bersalah bukan dengan menuduh hakim mahkamah menjual diri kepada syaitan dan bersekongkol menjadi rakan jenayah.

“Bila mereka (pembangkang) menang kes semua peguam adalah malaikat, tetapi bila pakatan kalah semua jadi syaitan," katanya.

Kata-kata Azalina itu menyebabkan pimpinan pembangkang tidak berpuas hati termasuk Nurul Izzah yang bangun mencelah ketika Ahli Parlimen Pengerang itu sedang membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Isu berkaitan kes perbicaraan Anwar juga dibangkitkan ketika sesi jawab lisan apabila Er Teck Hwa (Bakri-DAP) menuntut kerajaan mendedahkan  jumlah perbelanjaan yang dibayar kepada pendakwaraya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sepanjang mengendalikan kes liwat.

Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang menyebut Shafee menerima RM1,000 itu mengundang kekecohan.

Beberapa isu lain turut mengundang kekecohan di Dewan Rakyat pada minggu pertama Parlimen bersidang seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), isu air Selangor serta soal dakwaan kekayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suasana ini seolah-olah mengiakan kenyataan Ketua Whip Ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul yang menyebut bahawa tanpa kehadiran Anwar ke Parlimen, suasananya akan lebih kecoh serta lebih rancak daripada persidangan sebelumnya.

Pemimpin pembangkang turut melakukan protes di hadapan pintu utama Parlimen pada Selasa sebelum persidangan dimulakan dengan aksi wakil rakyat mencukur kepala masing-masing sehingga botak.

Aksi itu dilakukan sebagai  tanda protes terhadap keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkan Anwar hadir ke sidang Parlimen selain menuntut pembebasan Ketua Pembangkang itu dari penjara.

Soalnya, adakah Parlimen ini medan debat atas dasar politik untuk mencari salah pihak A atau B? Menggunakan kekebalan Dewan Rakyat untuk dakwa itu dan ini.

Mana perginya agenda memperjuangkan hak rakyat di kawasan masing-masing YB? Tepuk dada tanyalah hati...