• Najib Tun Razak
1 / 1
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Haron Din yang dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu, menggantikan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Tahniah Ustaz Haron Din atas pelantikan sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu," katanya dalam catatan terbaharu beliau di laman Twitternya di sini, hari ini.

Majlis Syura Pas, yang membuat keputusan itu pada mesyuarat di ibu pejabat Pas di sini pada 8 Mac lepas, turut melantik Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas.

Sebelum ini, Haron yang berasal dari Bohor Mali, Kangar, Perlis, adalah Timbalan Musyidul Am Pas dan merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia (Darussyifa').

Berkelulusan doktor falsafah dalam bidang Syariah dari Universiti Darul Ulum, Kaherah, Mesir, Haron bergiat aktif dalam politik sejak 1974 dan pernah beberapa kali bertanding kerusi Parlimen Arau.

Jawatan Mursyidul Am Pas kosong setelah Nik Aziz, yang juga bekas menteri besar Kelantan, meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas. - Bernama