• Razman Zakaria Razman Zakaria
1 / 1
IPOH - Pas Perak menggesa mana-mana ahli Pas supaya meninggalkan parti dan menubuhkan parti baharu sekiranya tidak mampu untuk wala’ (taat) kepada ketetapan yang telah diputuskan oleh pimpinan tertinggi.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan tersebut disifatkan lebih berprinsip sekali gus mampu meredakan konflik dalaman yang dihadapi Pas pada ketika ini.

“Kalau tak setuju dengan apa yang diputuskan, sila adukan pada saluran yang berkenaan dan sekiranya keputusannya tetap sama, maka adalah lebih baik kita keluar dan buat parti baharu.

“Tindakan itu lebih baik daripada terus duduk dalam jemaah (Pas) tetapi pada masa sama  cuba memecahbelahkannya secara terancang,” katanya.

Menurutnya, penubuhan parti baharu juga bukan suatu perkara luar biasa memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen.

“Tiada masalah tentang perkara itu, sesiapa sahaja berkelayakan, bebas untuk tubuhkan parti baharu dan kami dari Pas sendiri pun tidak akan halang perkara berkenaan

“Sebagai contoh, satu ketika dahulu bekas pimpinan PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang tidak sehaluan dengan parti itu keluar dan menubuhkan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita),” katanya.

Ditanya tentang kenyataan AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz  yang mendakwa wujud golongan tertentu cuba memecah-belahkan Pas, Razman bagaimanapun enggan mengulas.

“Wallahualam, tapi yang pasti dan kena ingat, bukan semua orang suka pada kita dan begitulah yang berlaku pada ketika ini (dalam Pas),” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin pula berkata, beliau tidak boleh memberikan sebarang komen tentang perkara itu kerana belum membaca kenyataan yang diluahkan Nik Abduh.

“Maaf, tak dapat komen sebab belum baca lagi kenyataan Nik Abduh itu,” katanya.