• Tuan Ibrahim Tuan Man Tuan Ibrahim Tuan Man
1 / 1
KOTA BHARU - Pas Kota Bharu mencalonkan Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Presiden parti bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pemilihan parti itu Jun ini.

Ia merupakan percalonan pertama dari Pas kawasan bagi menentang Abdul Hadi sekali gus membuka jalan dalam persaingan yang dikatakan sengit dalam pemilihan jawatan tertinggi Pas.

Mengulas keputusan itu, Yang DiPertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pencalonan Tuan Ibrahim dibuat berikutan keyakinan pihaknya terhadap kewibawaan dan pengalaman dimiliki.

Katanya, Pas Kota Bharu berharap Majlis Syura Ulama akan mencalonkan Abdul Hadi sebagai Mursyidul Am menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kita yakin Abdul Hadi juga tidak akan menerima pencalonan sebagai calon presiden pada pemilihan parti Jun depan, " katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pas Kawasan Kota Bharu, di sini, semalam.

Menurutnya, Tuan Ibrahim yang banyak mendapat didikan daripada Abdul Hadi dan bimbingan Allahyarham Nik Abdul Aziz merupakan individu paling layak diketengahkan sebagai Presiden.

Wan Rahim berkata, pencalonan tersebut dibuat berikutan tahap kesihatan Abdul Hadi yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

"Daripada 14 yang menghadiri mesyuarat pada malam in (tadi), 11 mencadangkan Tuan Ibrahim, manakala dua yang lain berkecuali, "katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak berhasrat memaklumkan keputusan mencalonkan Tuan Ibrahim kepada pemimpin berkenaan dan tidak memerlukan persetujuan pemimpin itu.

Pas Kota Bharu merupakan kawasan pertama yang mengadakan mesyuarat agung sekali gus yang pertama mencalonkan Tuan Ibrahim untuk bertanding merebut jawatan pemimpin tertinggi parti itu

Bagaimanapun, hanya jawatan Presiden sahaja dicadangkan Pas Kawasan Kota Bharu manakala jawatan lain diserahkan kepada bahagian lain untuk memutuskannya.