• Najib Tun Razak Najib Tun Razak
1 / 1
SHAH ALAM – Pemerhati politik melihat tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tetap mempertahankan kedudukannya meskipun telah didesak banyak pihak terutamanya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan memberi kesan bukan sahaja kepada pentadbiran malah kepada parti.
 
Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Unisel, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, Umno dan BN pastinya akan tetap mempertahankan Najib yang dijangka akan tergugat dalam pilihan raya akan datang.
 
“Bagi Najib, penting untuk dia terus kekal sebagai Perdana Menteri. Tindakan itu bukan saja memberi kesan kepada beliau sendiri...kepimpinan beliau, malah ia juga akan beri kesan kepada Umno dan BN kerana Umno dan BN yang akhirnya mempertahankan Najib.
 
“Jadi, kedudukan itu akan menyebabkan Umno tergugat dari konteks politik negara terutama dalam berdepan dengan Pilihan raya Negeri Sarawak dan pilihan raya umum yang tidak sampai tiga tahun lagi,” katanya kepada Sinar Online.
 
Ahad lalu, Najib menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno selagi mendapat sokongan rakyat dan ahli Umno.
 
Sementara itu, Shaharuddin berpandangan, suasana kurang harmoni yang wujud antara Najib dengan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mungkin timbul gara-gara Najib tidak merujuk sebarang urusan 1MDB ke Kabinet atau Muhyiddin sendiri.
 
“Bagi saya, banyak keputusan-keputusan dalam 1MDB itu berkemungkinan tidak dilakukan secara kabinet. Banyak dilakukan oleh kedudukan syarikat dan kedudukan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan sendiri. Ada banyak perkara sebenarnya yang tidak dirujuk kepada kabinet atau Muhyiddin.
 
“Kalau lihat kembali kenyataan-kenyataan Muhyiddin, beliau agak sukar untuk menjawab di hadapan rakyat dan ahli parti atas isu 1MDB. Berkemungkinan besar kerana isu-isu berkaitan 1MDB ini tidak dirujuk kepada Muhyiddin,” katanya.
 
Beliau berkata, masalah ini tidak akan selesai setakat pertemuan hati ke hati sahaja, ini kerana selagi isu 1MDB tidak selesai, ia akan beri kesan di antara Najib dan Muhyiddin.
 
Sebelum ini, Najib memberitahu telah mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Muhyiddin dan akan selalu mengadakan perbincangan sama bagi mengukuhkan hubungan keduanya.
 
Mengulas lanjut, Shaharuddin menyifatkan isu 1MDB yang didedahkan mutakhir ini hanya sebahagian kecil daripada permasalahan yang melanda pentadbiran Najib. 
 
“Isu 1MDB yang terkeluar sekarang ini cuma ‘tip of an iceberg’. Banyak lagi yang besar di bawah belum keluar lagi. Saya yakin, orang yang tidak puas hati dengan Najib akan mengeluarkannya. Sekarang ini, akan keluar satu persatu isu yang menyentuh 1MDB.
 
“Begitu juga pendedahan Tun Mahathir yang satu persatu membuka kesalahan Najib termasuk penggunaan dana awam dan sebagainya. Satu persatu strateginya...untuk mendesak Najib turun dari takhtanya. Bagi saya, lagi lama Najib berada di persada pemerintahan, ia akan menjejaskan Umno dan sesuatu yang baik untuk PR,” katanya.