1 / 1 
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kuasa untuk membatalkan pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, pembelian itu akan selama-lamanya dilihat sebagai usaha menyelamatkan 1MDB apatah lagi ia dilaporkan dibeli pada harga yang cukup murah oleh syarikat pelaburan itu namun dijual berkali ganda mahal kepada TH.

“Pembelian tanah 1.56 ekar oleh Lembaga Urusan Tabung Haji dari 1MDB yang melibatkan pembayaran RM188.5 juta wang pendeposit TH kepada 1MDB akan selama-lamanya dilihat sebagai usaha menyelamatkan (bail-out) 1MDB.

"Tanah itu pula dilaporkan dibeli pada harga yang cukup murah oleh 1MDB dari Kerajaan Persekutuan iaitu pada harga RM74.20 satu kaki persegi dan dijual pada harga berkali-kali ganda mahalnya (iaitu pada harga RM2,779 satu kaki persegi) kepada Tabung Haji.

“Lebih mencurigakan, nilai jualan RM188.5 juta itu lebih kurang serupa dengan nilai pembayaran faedah pinjaman yang perlu dilunaskan oleh 1MDB bagi hutang-hutangnya. Mengikut laporan akhbar perniagaan The Edge, 1MDB perlu membayar faedah pinjaman sebanyak USD52.5 juta (bersamaan RM188.5 juta) minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah mengesahkan badan berkanun itu telah membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) milik 1MDB bagi pembangunan sebuah menara kediaman namun menafikan pembelian Signature Tower melibatkan kos RM 578 juta.

Menurut Rafizi, Najib sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkuasa menghalang urusan itu selagi ia belum dimuktamadkan.

“Saya yakin bahawa perjanjian jual beli tanah yang melibatkan ini belum dimuktamadkan kerana hak milik belum dipindah milik kepada TH. Kontrak ini belum dikira muktamad dan 1MDB belum memenuhi semua syarat-syarat jual beli. Ada peluang untuk menghentikan jual beli ini bagi membolehkan dana RM188.5 juta milik pendeposit TH (termasuk simpanan saya sendiri) tidak disentuh.

“Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan memutuskan untuk meluluskan permohonan pindah milik tanah dari 1MDB kepada TH, oleh sebab 1MDB gagal memastikan hak milik tanah ditukar nama kepada TH, ia gagal memenuhi syarat-syarat jual beli. Kontrak itu secara automatik juga akan terbatal.

“Oleh sebab kontrak terbatal, maka 1MDB tidak ada pilihan lain kecuali memulangkan kembali wang RM188.5 juta yang telah diambilnya dari TH,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan tanah yang dibeli TH itu berpotensi untuk dimajukan tetapi 1MDB tidak sewajarnya membuat keuntungan atas angin pada tanah yang asalnya milik kerajaan Persekutuan itu.

“Ada dua cara terbaik TH membeli tanah tersebut tanpa mengorbankan kebajikan pendeposit TH, iaitu membeli terus tanah itu dari kerajaan Persekutuan pada harga diskaun yang diberikan oleh kerajaan kepada 1MDB. Keuntungan yang dibuat oleh TH di atas pembelian ini bolehlah dikira sebagai sumbangan kerajaan kepada pendeposit miskin untuk mereka mencukupkan tabungan untuk naik haji.

“Atau membeli tanah tersebut dari 1MDB pada harga ‘forced sale value’ atau harga lelongan kerana 1MDB telah benar-benar terdesak untuk mendapatkan wang tunai. Selalunya, syarikat yang bermasalah melelong harta mereka pada harga yang betul-betul murah dan dalam kesempatan beginilah TH boleh mendapat keuntungan yang baik daripada pembelian itu,” katanya.