SHAH ALAM -  Tokoh Wartawan Negara, Datuk A. Kadir Jasin membidas segelintir elit Umno yang beranggapan tangkapan bekas pengarah PetroSaudi International, Xavier Andre Justo oleh polis Thailand membersihkan maklumat buruk mengenai 1MDB.
 
"Walaupun tangkapan Justo oleh polis Thailand mungkin memberi kelegaan kepada Umno elit, ia tidak akan memulihkan keyakinan kepada ekonomi kita," katanya. 
 
Dalam pada itu, Kadir juga berkata, Malaysia berkemungkinan akan menjadi negara yang paling terjejas teruk di kalangan negara-negara Asia dengan kebankrapan negara Greece.
 
Menurut laporan majalah pelaburan Amerika Syarikat, Barron Asia, yang memetik Nomura Securities, selain Hong Kong dan Singapura, Malaysia mempunyai pendedahan terbesar kepada tuntutan bank Eropah.
 
"Ini boleh berlaku jika bank-bank Eropah mengurangkan pegangan hutang Asia mereka untuk membaiki kedudukan kewangan mereka yang disebabkan oleh terkeluarnya Greece dari Zon Euro.
 
Tambahnya lagi, laporan Barron mengatakan, pada akhir tahun lepas, tuntutan hutang bank-bank Eropah di Malaysia, bersamaan dengan 17.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan tempat kedua adalah Korea dengan hanya 8.7 peratus daripada KDNK.
 
"Greece, ekonomi kecil yang kurang daripada 2 peratus daripada KDNK Euro kawasan ini, tidak mungkin dapat menjadi rakan dagangan utama bagi pasaran Asia.
 
"Tetapi ia boleh menjejaskan Asia tidak seimbang jika bank-bank Eropah mengurangkan pegangan hutang mereka di Asia untuk membaiki kedudukan kewangan mereka dari Grexit," tulis Kadir di dalam blognya. 
 
"Kita masih bergelut dengan isu seperti 1MDB (1Malaysia Develoment Berhad), FGV (Felda Global Ventures), PPFI (Pembinaan PFI), SRCI dan aliran keluar dana  dan semua ini memburukkan ekonomi dan menjatuhkan nilai ringgit," katanya.