SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menuntut Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin menunaikan janjinya untuk menyiapkan laporan awal mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya disiapkan akhir Jun lepas.

Beliau berkata Ambrin perlu tampil menjelaskan status laporan interim tersebut yang masih belum dapat disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan.

“Rakyat menanti laporan tersebut. Ketua audit perlu tampil menjelaskan apakah status laporan tersebut dan bilakah laporan awal ini akan disiapkan.

“Walaupun ianya hanya laporan awal tetapi tidak seharus disembunyikan daripada pengetahuan rakyat kerana isu ini memberi implikasi besar kepada rakyat yang akhir akan menanggung segala bebanan daripada penyalahgunaan dan penyelewengan dalam 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jabatan Audit Negara pada Mei tahun lepas bercadang mengemukakan laporan awal pengauditan ke syarikat pelaburan nasional itu kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) selewat-lewatnya akhir Jun ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan audit dibuat awal tahun ini susulan kontroversi mengenai urus niaga 1MDB yang mempunyai hutang sebanyak RM42 bilion dalam tempoh enam tahun ditubuhkan.

Mahfuz yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen Pas berkata lagi, beliau menuntut Jabatan Audit Negara bukan sahaja menyerahkan laporan awal itu kepada PAC bahkan juga kepada semua ahli Parlimen melalui satu pembentangan dalam sidang khas Dewan Rakyat akan datang.

“Isu laporan awal ketua audit berkaitan 1MDB perlu dibentangkan khusus dan dibahaskan dalam sidang khas Parlimen bagi membolehkan ahli Parlimen membantu ketua audit meneruskan siasatan dan menyediakan laporan penuh pada sudut yang mungkin tidak dilihat atau terlepas  pandang oleh ketua audit negara.

“Saya menuntut Perdana Menteri memanggil sidang khas Parlimen untuk  membentang laporan awal ketua audit isu 1MDB jika benar PM mempunyai integriti yang tinggi,” katanya lagi.