2. Perjuangan Umno kesemuanya adalah tentang bangsa dan parti. Tidak pernah tentang diri sendiri dan kepentingan peribadi.


3. Umno tidak lagi boleh hanya jadi pemerhati, bila bangsa masih bergulat dengan kemiskinan dan jurang keberadaan. Kalian tidak boleh berdiam diri, kalau rasuah jadi budaya atau misalnya amanah di khianati.


Umno tidak boleh hanya membisu bila parti, tidak lagi mengutamakan perjuangan bangsa Melayu tetapi digunakan untuk membela golongan tertentu atas nama kesetiaan pada parti. Atau disiplin kepartian mentaati pemimpin. Sudah sampai masanya Umno bergerak beberapa langkah ke hadapan. Lebih proaktif dan lebih dominan.


4. Mengingatkan kepimpinan parti tentang tanggungjawabnya. Mengingatkan tentang pertanggungjawaban. Mengingatkan tentang amanah. Mengingatkan tentang nilai dan prinsip, yang selama ini menjadi jiwa dan nurani pergerakan parti.


5. Umno harus tampil untuk menyatakan apa yang sebenar-benarnya terbuku di hati kita. Dan kepimpinan parti harus berlapang dada mendengar suara hati nurani pendukung parti.


6. Zaman ini bukan lagi zaman di mana kepemimpinan itu dilayan laksana separa dewa. Sifat dan budaya feudal bukan budaya Umno. Budaya Umno adalah tentang nilai-nilai yang baik, yang terpuji, luhur dan mahmudah.


7. Umno bukan milik pemimpin. Ia milik kita semua. Jawatan tidak ada turun menurun.


8. Suka atau tidak, kita kena terima hakikat, Umno hari ini berhadapan dengan krisis kredibiliti yang luar biasa, bukan lagi krisis persepsi kini menular sebagai krisis kewibawaan, rekahan kepada kesatuan parti telah mula jelas kelihatan.


DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN

Menteri Besar Johor
###Petikan ucapan MB Johor ketika merasmikan persidangan Wanita Umno Bahagian Pasir gudang pada 2 Ogos 2015 di Dewan MPJBT Jalan Gunung, Seri Alam seperti yang disiarkan di laman sosial Facebook rasmi beliau.