JOHOR BAHRU - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini untuk  menghadap DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.


Kenderaan membawa Ahli Parlimen Pagoh itu dipercayai tiba sekitar jam 3.30 petang, namun tidak menggunakan pintu masuk utama (Gerbang Mahkota).

Kira-kira satu jam kemudian (4.35 petang), kenderaan Muhyiddin bersama Isterinya, Puan Sri Norainee Abd Rahman keluar melalui pintu masuk utama sambil tersenyum dan melambai kepada media.

Turut kelihatan keluar dari Istana Bukit Serene, di sini, adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sekitar beberapa minit kemudian.

Difahamkan, pertemuan secara tertutup itu juga dihadiri oleh Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Timbalan Presiden Umno itu dipercayai menerima perkenan daripada Sultan Ibrahim untuk mengadakan pertemuan di Istana Bukit Serene, di sini.

Setakat ini, media tidak dimaklumkan secara langsung sebarang perkara yang bakal dibincangkan mengenai pertemuan antara Muhyiddin bersama Sultan Johor.

Bagaimanapun, sumber memberitahu pertemuan itu memperkatakan mengenai perkembangan semasa Umno.

Muhyiddin pada sebelah pagi tadi, hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kluang
.