Isnin, 23 Januari 2012
Demontrasi Pelajar KUIN depan Pejabat Agung PAS ,Untungkan Umno ?
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Fenomena kebangkitan gerakan pelajar mutakhir ini mempamerkan beberapa kelainan dan keistimewaan. Biarpun nampak mereka menghadapi pelbagai cabaran dan kesulitan, sehingga ada yang diugut, tercedera, ditahan polis dan digantung pengajian, namun apa yang pasti semangat anak-anak muda ini untuk mengungguli kebenaran tidak mudah dilunakkan.
Walau dihalang dan juga dicemuh (ada kalanya oleh rakan-rakan sendiri), langkah mereka tetap maju menggugat. Idealisme "student power" terasa membahang. Jika kita sempat menghadiri perhimpunan (apatah lagi demonstrasi) mereka, semangat itu bagaikan membuak-buak. Panas menggelegak.
Menariknya, ia bukan ledakan amarah tanpa asas, atau hanya untuk melampiaskan dendam kesumat, sebaliknya ditunjangi kesedaran mendalam tentang tangungjawab besar insan berilmu.
Memang lantunan bicara mereka dalam aksi protes kedengaran garang berbisa, tetapilah itulah hakikatnya dunia anak muda. Bersedia untuk mencabar dan dicabar. "Gas pemedih mata dan belantan adalah asam garam dalam perjuangan mahasiswa. Semua itu pahit bila dilalui tetapi manis untuk di kenang," kata seorang rakan, yang pernah aktif dalam dunia kampus 1970-an.
Kepedulian sosial dan keprihatinan politik pelajar kini sekali lagi menembusi tembok menara gading, menganggu mimpi enak elit penguasa yang zalim dan korup. Benarlah ungkapan keramat, "gema suara mahasiswa kuat dan lantang bukan disebabkan loud-hailer tetapi berpunca dari nilai kebenaran yang dibawa".
Ada rakan-rakan cuba membayangkan bahawa zaman kegemilangan mahasiswa bakal berulang. Tafsiran "gemilang" mungkin menimbulkan perdebatan. Ramai yang merujuk era kegemilangan itu berlaku sebelum penguatkuasaan Akta Universiti. Pandangan itu sendiri terbahagi, sama ada sebelum pengenalan Auku 1971 atau beberapa ketika menjelang ia dipinda pada 1975.
Bagaimanapun, saya melihat setiap zaman ada kelebihan masing-masing. Generasi selepas pindaan Auku pun tidak semestinya ditanggap sebagai lesu dan beku. Aksi unjuk rasa memang tidak dapat dipisahkan daripada kegiatan tradisi mahasiswa, tetapi ia bukan kata kuncinya. Jiwa mereka resah gelisah melihat kemunafikan, penindasan dan kekejaman.
Ruang untuk bereksperimen tetap terbuka luas walaupun dikongkong peraturan ketat. Dan di sinilah kreativiti anak muda teruji. Perkembangan dakwah dan kesedaran menghayati cara hidup Islam, ketika aktiviti mahasiswa dicantas ciri "advokasi"nya (meminjam istilah Saifudddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) juga satu episod penting yang merakam sejarah.
Kini generasi Adam Adli dan Safwan Anang sedang membuka babak-babak kegemilangan mereka sendiri.
Keyakinan yang utuh terhadap akar perjuangan "kebebasan akademik" menjalar ke seluruh negara, bukan lagi terbatas sekitar dua tiga kampus utama di Lembah Klang. Malah, ekspedisi mereka melanggar negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, yang juga mempunyai institusi pengajian tinggi tersendiri.
Jika mereka berani berarak ke Ibu Pejabat Umno di PWTC demi autonomi universiti dan mencipta kejutan dengan menurunkan buat seketika bendera berwajah Najib Razak pada 17 Disember 2011, anak-anak muda ini juga turun menuntut kebebasan akademik di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, pada 18 Januari 2012.
Mungkin ramai terkejut dan tidak kurang yang melatah dengan himpunan bantahan "ekoran sikap membisu PAS terhadap penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah. Masakan tidak ... kumpulan mahasiswa pemberani itu sering dikaitkan dengan Pakatan Rakyat, dan KUIN merupakan IPTS dimiliki penuh kerajaan negeri Kedah, yang diterajui PAS.
Malaysiakini melaporkan kenyataan seorang daripada pelajar yang digantung itu, Mohd Aiman Abd Razab: "Kami akan terus berjuang demi menegakkan prinsip-prinsip kami (berhubung kebebasan akademik). Ini bukan tentang parti atau warna kulit, kita tidak mengamalkan dwi-standard. Di mana suara kita boleh diluahkan jika di bawah Pakatan kita juga cuba disenyapkan?"
Banyak pihak membandingkan janji Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga dan hasrat PAS dalam Dokumen Negara Berkebajikan, dengan pentadbiran KUIN (terutama pengendalian perbicaraan lembaga tatatertibnya) dan sikap kerajaan Kedah itu. Penyokong Pakatan mengharapkan isu penggantungan lima pelajar itu dapat ditangani dengan bijaksana dan berhemah.
"Dengar suaralah mahasiswa biarpun mungkin terasa agak menyakitkan bagi orang politik. Usah pertikai keikhlasan dan kejujuran mereka, apa lagi meremehkan. Tunjukkan sikap terbuka dan jiwa besar dengan meraikan luahan rasa anak-anak muda itu," seorang pembaca Harakah, dari UKM, menghantar SMS.
Dari sudut lain, generasi "yang tidak berkepentingan" ini sebenarnya berpotensi mewujudkan satu kekuatan baru, yang sebenarnya amat diperlukan rakyat dan negara, bagi menjamin pelaksanaan dan pemerataan keadilan.
Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Ungku Aziz dalam kata pengantar buku Mahasiswa Menggugat, tulisan Mohamad Abu Bakar (1973) mencatatkan: "Mahasiswa bukan sahaja berhak mengeluarkan suara intelek mereka, akan tetapi boleh dikatakan mereka wajib memberi syor serta teguran ..."
Tempoh mahasiswa di universiti cukup singkat, sekitar tiga tahun, tetapi masa efektif untuk terbabit aktif hanya lebih kurang setahun sahaja, namun bisa suara gerakan pelajar cukup menikam, seperti dibuktikan di negara-negara luar, malah berupaya menjatuhkan sesebuah regim.
"Saya lebih percaya ketulusan suara mahasiswa," kata seorang veteran politik, "dan jangan sakitkan hati mereka dengan membuat dakwaan melulu bahawa mereka diperalatkan oleh pihak tertentu. Kalau nak sanggah hujah mereka pun tolaklah dengan baik, jangan perlekeh seperti budak sekolah."
0 orang berkata:
Post a Comment