Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Tubuh parti politik baharu: berpijaklah pada bumi nyata!
Posted on Saturday, January 28 @ 20:54:21 PST by tokdalang


Oleh Markus Lim
Dalam arena politik negara, kita sebenarnya tidak ketandusan parti-partipolitik. Malah boleh dikatakan kita sebenarnya “spoilt for choice”. Bukan dua  tetapi lebih daripada berpuluh-puluh parti politik. Ada yang besar, ada yang kecil dan tidak kurang juga mereka yang telah berada dalam persada politik negara sejak sekian lama

Daripada parti-parti politik terawal negara  yang berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC kepada parti politik berlandaskan  ideologi seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) hinggalah kepada parti-parti politik berasaskan agama seperti Parti Islam Se-Malaysia (PAS) — semuanya mempunyai tarikannya yang tersendiri. Dalam Barisan Nasional (BN) umpamanya, ia sudah mempunyai 13 parti komponen masing-masing terdiri daripada kepelbagaian latarbelakang manakala dalam pakatan pembangkang pula adanya 3 parti utama iaitu PKR, DAP dan PAS. 
 Bilangan tersebut bagaimanapun belum meliputi parti-parti kecil atau serpihan seperti Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Makkal Sakhti dan juga Parti Hak Asasi Manusia (HRP). 



Jika bilangan parti-parti kecil tersebut turut diambil kira, maka ini bermakna kita sebenarnya mempunyai lebih daripada 20 parti-parti politik untuk memenuhi keperluan masyarakat. 

Apa yang uniknya di negara kita, setiap parti politik masing-masing mewakili setiap kaum di negara ini — barangkali satu rekod yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana negara dunia. 

Justeru, apabila ada ura-ura oleh segelintir pemimpin tertentu yang berhasrat untuk menubuhkan parti-parti politik baharu bagi meneruskan perjuangan politiknya — idea berkenaan mungkin membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. 

Sememangnya, idea menubuhkan parti politik baharu merupakan satu-satunya jalan mudah oleh politikus untuk melangsungkan riwayat politik mereka. Apa tidaknya, survival adalah ibu kepada segala motif perjuangannya. Apa yang sahaja yang direncanakan mereka baik yang bertujuan membantu rakyat atau parti, semuanya berkisar kepada membantu mengekalkan kekuasaannya. 

Tidak semestinya setiap kali risiko yang diambil itu akan membuahkan hasil, namun jika keadaan mengizinkan dan digabungkan pula dengan kewujudan vakum politik ketika itu, maka kejayaan mungkin hampir dalam genggaman. Tetapi dalam kebanyakan kesnya, ianya muncul dan akhirnya pudar begitu sahaja. 

Apa yang menimpa Parti Semangat 46 serta parti-parti politik lain yang sudah lenyap daripada arus perdana politik negara harus menjadi iktibar kepada pemimpin-pemimpin politik sedia ada sekarang untuk berfikir semasak-masaknya sebelum melangkah jauh dalam idea itu. 

Ramai yang beranggapan dengan menubuhkan sebuah parti politik baharu ia mampu mengubah lanskap politik negara sekaligus mencetuskan penghijrahan beramai-ramai  pengikut mereka. Pada fikiran mereka, keadaan ini akan mencetuskan ketidakstabilan, ketidakpastian seterusnya anarki yang akan menganggu-gugat survival parti berkenaan. 

Memang benar situasi sedemikian boleh berlaku tetapi ia banyak bergantung kepada sejauhmanakah kepimpinan parti politik baharu itu boleh menarik minat ahli-ahli mereka. Lebih signifikan lagi, karisma kepimpinan dan kewibawaan diri pemimpin utama parti politik baharu itu akan teruji selepas ini.  Berjaya atau tidak survival parti terbabit, kini terletak di tangan pemimpin tersebut. 

Jika diteliti dengan mendalam terhadap pencapaian parti-parti politik baharu berkenaan, tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai mereka. Boleh dikatakan impak yang dicetuskan pula agak kecil dan tidak mendapat liputan menyeluruh pihak media. 

Salah satu aspek yang mungkin boleh menjelaskan di sebalik kurangnya impak oleh parti-parti politik baharu ini ialah rekod pencapaian parti-parti tersebut. Bagi rakyat yang ingin menyokong sesebuah perjuangan, sudah tentu selain daripada aspek integriti dan kredibiliti, rekod pencapaian parti politik itu juga penting. 

Justeru, parti-parti politik baharu ini perlu membuktikan diri bahawa kehadiran mereka itu bukan sekadar memanaskan bangku politik semata-mata. Mereka perlu membuktikan bahawa kehadirannya bukan sahaja boleh menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih sihat bahkan juga perjalanan politik yang lebih matang. Bukanlah niat penulis untuk memperkecilkan mana-mana parti politik tetapi itulah hakikat sebenar. Mereka masih mempunyai ruang penambahbaikan jika ingin mencetuskan impak. 

Sekadar menubuhkan sebuah parti politik baharu tidak sukar. Hanya dengan mengisi borang, berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), mempunyai perlembagaan parti dan sejumlah ahli sudah memadai. 

Tetapi persoalan jangka panjangnya, apakah parti-parti politik baharu ini boleh mengekalkan momentum berterusan untuk jangka panjang? Apakah visi-visi yang dicanangkan boleh digunapakai untuk tempoh mungkin 10 hingga 20 tahun akan datang? Bagaimana pula dengan perpaduan dalam parti? Bolehkah ia mengekalkan keharmonian dalam parti supaya ia tidak menerima nasib serupa dengan parti politik lain yang sering dibelenggu dengan krisis? Apakah penubuhan sebuah parti politik baharu seiring dengan permintaan daripada rakyat? 

Inilah antara persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh pemimpin politik sebelum bercita-cita untuk membentuk sebuah parti baharu. Amat mudah untuk membentuk sebuah parti politik baharu tetapi jika ia tidak disertai dengan perancangan teliti, maka segala kerja keras selama ini mungkin sia-sia belaka. 

Yang penting, pemimpin politik harus berpijak pada bumi nyata dalam konteks ini. Banyak tidak semestinya bagus dan baharu tidak juga menjamin permulaan yang baik. 
Oleh itu, rancanglah dahulu sebelum bertindak!

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.