31/01/12
Kepala babi: PAS desak polis siasat terperinci
KUALA LUMPUR, 31 Jan: PAS mendesak pihak polis mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan terperinci berhubung penemuan kepala babi di pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 18, Rawang, awal pagi ini.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan tersebut diyakini dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan sentimen agama bagi mencetuskan provokasi di kalangan rakyat negara ini.
Menurutnya, tindakan seperti itu tidak sepatutnya berlaku di negara ini kerana ia jelas boleh mengancam ketenteraman awam jika tidak ditangani dengan betul.
Katanya, sebelum ini beberapa kejadian seperti itu telah berlaku di negara ini dan setelah disiasat oleh pihak polis didapati pihak yang melakukannya bukannya dari kalangan bukan Islam.
"Contohnya dalam kejadian di Johor baru-baru ini. Setelah disiasat oleh pihak polis didapati pihak yang melakukannya adalah orang Melayu sendiri yang mengaku beragama Islam," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Media hari ini melaporkan satu kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang, Selangor, pada jam lima pagi ini oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.
Pihak polis dari Balai Polis Rawang yang terletak tidak jauh dari masjid itu yang dihubungi tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi untuk menjalankan penyiasatan.
Mereka kemudiannya telah meninggalkan masjid itu setelah mengambil bahan bukti serta menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, manakala kes itu pula akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah.
Adun Rawang, Gan Pei Nei dan Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu turut berkunjung ke tempat kejadian setelah dimaklumkan tentang kejadian itu.
Mereka mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya sebagai perbuatan provokatif yang cuba menyinggung sensitiviti agama serta bermotifkan politik memandangkan pilihan raya umum semakin hampir.
Gan turut yakin kejadian tersebut tidak berlaku secara spontan kerana Masjid Nurul Iman telah bertapak di kawasan itu sejak 48 tahun lalu.
Manakala Ronnie pula menjelaskan, Gan akan mewakili kerajaan negeri pada mesyuarat jawatankuasa masjid malam ini dan akan melaporkan kepada Menteri Besar mengenai kejadian itu untuk tindakan susulan.
Menurut Tuan Ibrahim, pihak polis amat perlu mempercepatkan siasatan mengenai kejadian itu dan membawa penjenayah ke muka pengadilan.
"Perbuatan seperti itu dan sebarang provokasi agama, keselamatan dan bangsa amat perlu dihentikan. Jadi pihak yang bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya," tegasnya.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berharap agar kesemua pihak akan menghadapi kejadian itu dengan matang agar tidak terheret sama ke dalam kancah provokasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.
"Jangan sekali-kali ada pihak yang mengapi-apikan lagi keadaan, sebaliknya hadapilah dengan matang," tegas beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment