Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified


Memijak semula tanah Kampung Baru selepas 4 tahun
Posted on Tuesday, January 24 @ 23:00:00 PST by paktam

 
Oleh LIM HONG SIANG

SAYA kembali semula ke Kelab Sultan Sulaiman malam  (8 Januari), hampir empat tahun kemudiahttp://harakahdaily.net/v2/images/stories/harakahdaily/daily_picture/mac2011/kgbaru2.jpgn selepas kali pertama saya menjejak langkah ke bumi Kampung Baru, pada malam 13 April 2008. Puluhan ribu manusia membanjiri padang itu, diselubungi keghairahan selepas tsunami politik dalam PRU12 – tidak sabar-sabar menyambut tarikh Anwar Ibrahim dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.


Babak pergelutan politik paling zalim dan jijik dalam sejarah yang dimulakan Mahathir Mohamad, akhirnya dibubuhkan tanda noktah. Umno yang dipimpin Abdullah Ahmad Badawi ketika itu cuba menyerang dengan politik lapuk berslogankan “Ketuanan Melayu”, dipatahkan dengan yakin oleh Anwar, apabila “Ketuanan Rakyat” berkumandang di Kampung Baru, bumi yang bersejarah untuk Melayu dan Umno.

Empat tahun kemudian kita berkumpul semula di sini, untuk babak pergelutan politik jijik yang dimulakan Najib Razak.

Keesokannya tidak menentu, sama ada ia dibubuhkan tanda noktah, ataupun dipanjangkan dengan lembaran yang selanjutnya. Bilangan manusia yang hadir tidak seramai empat tahun yang lalu. Maklumlah, Anwar hari ini bukan di ambang kuasa, tetapi di depan pintu besi penjara.
Kampung Baru kini bukan sahaja terkenal sebagai “pengundi yang berdaftar”, tetapi juga berdepan dengan nasib yang tidak menentu, dengan Rang Undang- Undang Perbadanan Kampung Baru 2011 yang dibentang dalam parlimen. Ketika mengulas isu ini, Anwar menjamin bahawa Cina dalam Pakatan Rakyat tidak berniat untuk merampas satusatunya tanah Melayu di tengahtengah ibu kota ini, dan tiada masalah untuk Cina agar tanah ini dikekalkan untuk Melayu.

Seringkali Melayu ditakutkan dengan ugutan bahawa seandainya Ketuanan Melayu digantikan dengan Ketuanan Rakyat, maka kedudukan Melayu akan tergugat. Lantaran daripada itu, sesetengah Melayu lebih sanggup menjadi “Melayu”, meskipun menggadaikan hak asasinya sebagai “Rakyat”. Persoalannya, apa yang “Tuan” sangat dengan Melayu tanpa hak rakyat?

Pengalaman memijak di tanah Kampung Baru memahat ingatan dalam hati saya. Pencakar langit berkilauan tersergam megah mengelilingi tanah ini, menghiasi kegelapan malam. Riak kehangatan dalam udara dirasai, dari roh dalam tubuh setiap insan di situ. Suara dalam hati semakin lantang, apabila semakin dekat. Dan hati yang keras melebur, menatap wajah yang ikhlas.

Bangunan tinggi yang semegah manapun, kekal hanya sebagai keluli berbalut simen yang dingin. Bandar sahaja yang tinggal jikalau bangunan tanpa manusia. Bandar itu dingin dan lesu, tidak berperikemanusiaan - seandainya tidak dihangatkan bahang dari semangat yang berkobar-kobar.

Anwar dibebaskan pada 2 September 2004. Seandainya gerakan Reformasi pada tahun 1998 hanya untuk membebaskan Anwar dari penjara, maka tidak usahlah untuk kita berarak sehingga ke hari ini – menahan kepedihan di mata dan kesengitan pada kulit di tengahtengah jalan raya. Jikapun didakwa gerakan ini untuk Anwar – itu adalah kerana rakyat melihat nasib dirinya dari susuk bernama Anwar Ibrahim.

Apakah reformasi yang kita tuntut? Apakah negara baru yang ingin kita bentuk? Kita sebenarnya tidak kisah jikapun hidup dalam keperitan, seandainya ekonomi meleset. Kita sedia memikul beban itu bersama – mengharungi segala cabaran di depan. Namun kita menentang ketidakadilan. Kita benci tatkala pemandu teksi berhempas pulas mengukur jalan di bandar untuk sesuap nasi, pemegang lesen teksi pula bersantai menghisap titisan peluh mereka yang bekerja.

Kita tidak berdendam dengan kerajaan, menyedari perbezaan pandangan sesuatu yang diraihkan dalam tamadun manusia. Namun kita menentang kezaliman, apabila musuh politik cuba dijahanamkan dengan seribu satu konspirasi. Kita sedia berdebat apabila perbezaan itu jelas, dan kita sedia bermuafakat apabila terdapat persamaan.

Semua ini semakin lumrah di negara yang seketika dahulu diperintah rejim kuku besi. Menyumbat Ketua Pembangkang ke dalam penjara sesuatu pengaiban terhadap pemerintah sendiri, apatah lagi menyumbat musuh politik ke dalam dubur seorang budak jambu?

Tiada alasan untuk Cina bermusuh dengan Melayu di sini. Aunty Bersih, Anne Ooi tersentuh hatinya melihat siswa Melayu dibelasah sedemikian rupa. Surirumah tangga biarpun bukan pakar dalam pendidikan mahupun politik, berasa terpanggil untuk memberikan sejambak bunga kepada Safwan Anang, untuk merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kerana perjuangan demi kebebasan akademik. Wanita Umno sahaja yang kelihatan lebih sanggup untuk mempertahankan lembu daripada mempertahankan anak muda kita yang berani.

Tiada persoalan kaum dan agama di sini. Kita menuntut alam sekitar yang bersih, bebas dari kilang nadir bumi mahupun loji nuklear yang memancarkan radioaktif. Kita menuntut hak kita untuk hidup bahagia, agar anak kita bermaruah sebagai bangsa Malaysia – dan bukan diludahludahkan oleh samseng.

Memijak di tanah Kampung Baru satu pengalaman yang terharu, empat tahun dahulu dan kemudian. Merenung mata manusia di sini ada sinarnya. Mendongak ke langit, biarpun sesekali purnama diselubungi awan gelap yang tebal, namun tetap kembali terang pada awal pagi 9 Januari 2012.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.