Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
PUTRAJAYA - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang "begitu galak" memfailkan saman sekarang sebenarnya merupakan pendekatan kegemaran Ketua Pembangkang itu untuk menutup mulut orang lain.
  
Kata beliau, ini kerana, apabila sesuatu perkara dirujuk kepada mahkamah, ia tidak lagi boleh dibincang secara umum untuk mengelak berlaku subjudis.
  
"Seperti yang anda tahu, beliau telah menyaman saya dan selama empat tahun saya tak boleh membuka mulut. Itulah cara beliau berkempen, menyekat orang daripada bercakap, sedangkan beliau percaya kepada kebebasan bersuara dan perkara seumpamanya.
  
"Tapi, apabila orang bersuara, beliau hendak tutup mulut mereka dengan menyaman semua orang," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
  
Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar yang menyebut bahawa bekas rakan Anwar, Senator Datuk S. Nallakarupan, menuduh Ketua Pembangkang itu menggunakan saman untuk menyekat perbuatan buruknya didedah kepada umum.

Terdahulu, Dr Mahathir menerima kunjungan hormat Presiden Guinea Alpha Conde, yang melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia.

  
Mengenai pertemuan mereka yang berlangsung selama lebih kurang setengah jam, Dr Mahathir berkata Conde ingin mengetahui lebih mendalam tentang negara ini dan mempelajari cara kerajaan membangunkan Malaysia untuk beliau contohi dalam membangunkan Guinea.
  
Sebelum itu, Conde mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kedua-dua pemimpin bersetuju mengkaji bidang baru hubungan dua hala antara Malaysia dan Guinea.
  
Najib dan Conde juga menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang pengajian tinggi oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Kerjasama Antarabangsa Guinea Prof Datuk Koutoub Moustapha Sano.
  
Najib juga meraikan presiden itu pada majlis jamuan tengah hari di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana di sini. - Bernama