Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
SHAH ALAM – Pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) hari kedua, semalam hangat apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) saling menuding jari dan mempertahankan ‘pasukan’ masing-masing.

Malah lebih mengejutkan, pegawai MBPJ mengaitkan individu yang bertanggungjawab mengarahkan pertukaran status zon tanah PKNS daripada kawasan lapang dan rekreasi kepada komersial dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ianya disangkal pegawai JPBD.


Jawatankuasa Selcat terutama Pengerusinya, Datuk Teng Chang Khim pula dilihat tidak berpuas hati dengan jawapan saksi ketiga, iaitu bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Noraini Roslan.


Ini kerana jawatankuasa Selcat masih tidak memperoleh jawapan siapakah yang mengarahkan pertukaran zon tanah tersebut beliau terpaksa mengulangi soalan sama kepada Noraini.


Noraini yang kini Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor berkata, beberapa pindaan RTPJ2 itu dibuat tidak mengikut peruntukan undang-undang sebaliknya ia dilakukan hanya berdasarkan amalan biasa.


“MBPJ akan membuat sebarang pindaan di dalam RTPJ 2 itu meskipun selepas ia diberi kelulusan MMKN dan diwartakan.


Bagaimanapun, pindaan tersebut hanya melibatkan guna tanah semasa dan ia langsung tidak menyentuh mengenai pindaan status zon pada sesuatu kawasan itu,” katanya.


Saksi lain yang dipanggil Selcat ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan ahli akademik yang pakar dalam bidang berkaitan, Datuk Dr. Goh Ban Lee.


Selcat bagaimanapun ditangguh 5 Julai ini untuk mendapatkan maklumat lengkap mesyuarat berkaitan pindaan RTPJ2 tersebut.



MBPJ mengaku tidak patuh peraturan


Chang Khim
: Bagaimana MBPJ dan JBPD boleh melakukan pindaan kalau tiada peruntukan. Di mana kuasa untuk meminda apabila ia telah digazet?

Noraini
: Setuju Tuan Pengerusi, pemindaan ini ada dua perkara. Satu adalah kepada guna tanah sedia ada, pelan guna tanah itu sepatutnya betul pada tarikh pewartaan dan cetakan. Sekiranya pada tarikh pewartaan itu juga tidak betul. Amalan biasa, menjadi tanggungjawab pegawai membetulkannya sehinggalah ianya diwarta.

Chang Khim:
Selepas diwartakan, di mana peruntukan yang membenarkan pindaan? Seksyen mana yang membenarkan pembetulan dibuat selepas diwartakan?
Noraini:
Pembetulan boleh dibuat dengan kebenaran Kerajaan Negeri.

Chang Khim:
Di mana seksyen itu?
Noraini:
Di dalam Seksyen 16 “Pihak berkuasa kerajaan tempatan boleh pada bila-bila masa membuat cadangan untuk mengubah atau menggantikan sesuatu rancangan tempatan. Seksyen ini membenarkan perubahan itu dibuat setelah diwartakan. Tetapi, perubahan hendaklah melalui prosedur yang berbalik kepada seksyen awal tadi.

Chang Khim:
Dalam erti kata senang, rancangan tempatan yang diwartakan tidak boleh dipinda melainkan melalui proses asal, seolah-olah tidak ada rancangan tempatan. Jadi, adakah proses ini dipatuhi?

Noraini:
Seperti saya katakan tadi, guna tanah semasa pembetulannya memang perlu dibuat kerana guna tanah semasa...(belum sempat dihabiskan ayat, Chang Khim mencelah)

Chang Khim:
Ya, soalan saya. Rancangan tempatan tidak boleh dipinda melainkan balik kepada proses asal. Jadi, adakah proses ini dipatuhi.
Noraini:
Errr...tidak.

Chang Khim:
Tidak dipatuhi dan dalam keadaan tidak dipatuhi, versi ketiga dikeluarkan dan dipamerkan untuk orang ramai dan digunakan.
Noraini
: Itulah yang berlaku.


Siapa arah ubah status tanah?


Chang Khim:
Adakah Puan Noraini mempunyai pengetahuan ada cadangan untuk perubahan ‘zoning’ tanah padang PKNS?

Noraini:
Saya cuma boleh mengingat sewaktu memberikan nasihat kepada pemaju sahaja. Tidak adil bagi saya untuk saya katakan tahu atau tidak tetapi arahan untuk mengubah mana-mana 'zoning' itu tidak saya beri secara bertulis.

Chang Kim:
Jadi, kalau arahan tidak datangdari pengarah perancang MBPJ pada masa itu, arahan daripada siapa?

Noraini:
Perubahan seperti saya katakan, pembetulan terhenti ke atas guna tanah sedia ada di mana perubahan itu dikatakan perubahan 'zoning'..saya perlukan bantuan dari pegawai MBPJ,
saya ingat Puan Faiwos boleh bantu saya.


MBPJ salahkan JPBD


Faiwos:
Arahan pengubahan ini adalah lanjutan daripada arahan JBPD mengenai pembetulan terhadap laporan RTPJ2. Pihak JPBD juga itu sama masa pada tarikh diwartakan masih memanggil
pihak MBPJ dan JBPD Federal (Pusat) untuk berbincang mengenai pindaan-pindaan dalam laporan RTPJ2 ini.

Chang Khim:
Pindaan 'zoning'? Saya tidak nampak dalam ini (rujukan yang disediakan) ada mengatakan, cuma ada surat penyelarasan laporan akhir.
Faiwos:
Pindaan itu termasuklah mengemaskinikan maklumat rancangan termasuk mengambil kira pelan yang diluluskan oleh MBPJ.

Chang Khim:
Surat ini menyatakan adalah dimaklumkan mesyuarat penyelarasan laporan akhir RTPJ..itu sudah lain dengan pengubahan 'zoning'.
Faiwos:
Apa yang dibincangkan dalam mesyuarat ini adalah untuk mengemaskinikan lagi pelan di dalam laporan termasuk guna tanah semasa dan juga apa-apa mengenai kelulusan MBPJ.

Chang Khim:
Sepanjang tempoh menyediakan draf rancangan tempatan sehingga ke peringkat kerajaan tempatan, adakah mana mana pihak yang mengemukakan bantahan terhadap 'zoning' tanah padang PKNS sebagai tanah lapang dan rekreasi.

Faiwos:
Tidak ada.
*** Ketika ini Timbalan Pengarah JPBD, Norasiah Bee Mohd Hanif bangun mencelah menyangkal jawapan Faiwos.
Norasiah:
Apa yang dikatakan Puan Fairos bahawa JPBD yang mengarahkan pindaan 'zoning' bagi lot tanah PKNS, itu adalah tidak benar sama sekali. Kita terpaksa menyangkal sebab walaupun ada mesyuarat pada 13 Januari 2011, tetapi nama mesyuarat kita (consisten dari mesyuarat pertama) ‘Mesyuarat Pindaan Rancangan Tempatan’ tetapi mesyuarat itu tidak membincangkan pindaan rancangan tempatan.

Pada peringkat itu, pindaan telah berakhir. Pindaan dimuktamadkan selepas mesyuarat pada 22 Oktober 2010 dan laporan JPBD daripada draf RTPJ2 sehingga laporan yang dihantar ke Exco serta diwartakan konsisten sebagai tanah lapang dan rekreasi.


Faiwos :
YB Tuan Pengerusi, sebenarnya Cik Norasiah ini tidak pernah ada untuk mesyuarat kerja-kerja pindaan yang dibuat, ia dipengerusikan Tuan Haji Azman Talib (Ketua Penolong
Pengarah JPBD). Mungkin dia (Norasiah) tidak pasti apa yang dibincangkan. Semalam Tuan Haji Azman sudah bagitahu yang MBPJ dipertanggungjawabkan untuk pinda pelan, JPBD pinda
teks.

Norasiah:
Tuan Pengerusi, betul. Pembahagian tugas memang benar tapi pembahagian itu berakhir 22 Oktober untuk proses pindaan selesai. Saya tidak hadir pada mesyuarat itu tetapi saya adalah ketua yang memantau pelaksanaan semua projek di bahagian rancangan pembangunan dan korporat JPBD. Segala proses kerja bagi rancangan tempatan akan dimaklumkan ketua-ketua
bahagian kepada saya setelah selesai mesyuarat.

Chang Khim:
Jadi, tidak ada inisiatif diambil JPBD untuk meminda 'zoning' bagi tanah padang PKNS?
Norasiah:
Tiada langsung.

Chang Khim:
MBPJ pula, siapa yang mengambil inisiatif ubah 'zoning' tanah padang PKNS.
Faiwos:
Tuan Pengerusi, pengubahan 'zoning' tanah PKNS ini adalah lanjutan kerja-kerja selepas MBPJ dan JPBD. Kita mengambil ‘spirit’ daripada arahan Tan Sri Menteri Besar di dalam mesyuarat perancang negeri. Dalam mesyuarat tersebut, MB menekankan PBT mengambil kira syarat nyata, ini disebabkan semasa mesyuarat tersebut ada PBT yang kemukakan pindaan RT
tak sampai enam bulan diwartakan.

Chang Khim:
Baik. Itu adalah satu pandangan daripada Menteri Besar.
Norasiah:
Datuk Pengerusi, boleh saya mencelah? Saya merujuk balik kepada mesyuarat jawatankuasa perancang negeri diadakan Julai 2011. Pada ketika itu, saya menanggung kerja sebagai

Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa, saya juga menjadi setiausaha kepada jawatankuasa perancang bandar dan desa.

Arahan atau teguran yang diberikan Tan Sri pada ketika itu adalah secara umum sebab pada ketika itu, rancangan tempatan MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) dan MPSJ (Majlis Perbandaran Subang Jaya) dibentangkan untuk pengubahan. Tiada dibincangkan berkenaan RTPJ2, RTPJ2, sudah selesai ketika itu. Hanya rancangan tempatan pengubahan MBSA dan MPSJ.


Teguran Tan Sri pada ketika itu supaya diselaraskan dengan syarat nyata tanah tapi Tan Sri juga beri peringatan bahawa walau apa prosedur perlu diikuti.