Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan langkah menyiarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara rakaman akan diteruskan walaupun pihak pembangkang tidak bersetuju dengan kaedah itu.

Langkah itu antara beberapa perkara yang bakal diperkenalkan ketika PRU13, yang dijangka diadakan selepas sambutan Aidilfitri.


Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya akan tetap meneruskan langkah itu kerana ia salah satu syor terkandung dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan perjalanan pilihan raya.


"Sudah pasti siaran manifesto diteruskan kerana ini salah satu daripada 32 syor-syor dalam PSC," kata beliau kepada Sinar Harian Online.


Justeru kata beliau, parti-parti politik juga seharusnya menunggu sehingga garis panduan berkenaan langkah itu dikeluarkan sebelum melahirkan pendirian sama ada menerima atau sebaliknya.


"Sepatutnya mereka perlu tunggu dahulu sehingga garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sebelum membuat komen," kata beliau dalam kenyataan SMS.


Abdul Aziz berkata, beliau juga yakin parti-parti politik yang lain akan menerima peluang yang disediakan itu dengan hati terbuka walaupun menggunakan cara rakaman sebelum menyiarkannya di RTM.


"Pakatan Rakyat (PR) perlu tunggu terlebih dahulu garis panduan sepenuhnya dan lebih berfikiran matang dengan perkara itu.


"Semua parti politik akan mendapat keadilan untuk membentangkan manifesto masing-masing seperti yang terkandung dalam salah satu daripada 32 syor PSC.


"Cara ini juga merupakan usaha kami bagi memperbaiki proses pilihan raya negara ini,” katanya lagi.


Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kerajaan Pusat cuba mahu mengaburi mata rakyat dengan hanya membenarkan manifesto parti politik ketika PRU13 disiarkan secara rakaman.


Sabtu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya juga tidak bersetuju kerana manifesto yang disiarkan akan diputar belit isi kandungannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawa serta tidak menepati tuntutan Bersih 3.0.


Mengulas lanjut, Abdul Aziz menegaskan, PR tidak seharusnya terus-menerus mendesak dan menyalahkan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan atau SPR yang mahu menggunakan kaedah rakaman untuk menyiarkan manifesto.


“Sebaik-baiknya, tunggu dahulu garis panduan yang akan dikeluarkan sebelum membuat sebarang keputusan, komen dan cadangan bagi memperbaiki lagi sistem pilihan raya,” katanya.