ambiga
Ambiga
 
KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Sri Gading Datuk Mohamad Aziz hari ini menarik balik kenyataannya supaya pengerusi bersama Bersih 3.0 Datuk S. Ambiga digantung kerana menderhaka, walaupun diputuskan beliau tidak bersalah dalam hal itu.

"Saya seorang rakyat yang ada disiplin, parti saya parti yang berdisiplin dan berhubung kenyataan itu kalau ia menyinggung perasaan rakan-rakan saya orang India, pemimpin-pemimpin MIC, PPP (Parti Progresif Penduduk), dan dalam menghormati semangat persefahaman dalam BN, saya menarik balik semua kenyataan saya berhubung isu itu," katanya.


Beliau berbuat demikian selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memohonnya menarik balik kenyataan itu walaupun memutuskan kenyataan Mohamad itu bukan suatu kesalahan kerana ia hanya suatu persoalan dan tidak bersifat perkauman mahupun ugutan.


Terdahulu Lim Guan Eng (DAP-Bagan) meminta Wan Junaidi memutuskan suatu tindakan terhadap Mohamad susulan kenyataannya mengenai hukuman gantung ke atas Ambiga yang disifatkan sebagai tidak wajar.


Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 bagi Kementerian Dalam Negeri pada Selasa lepas (26 Jun), Mohamad mengemukakan pertanyaan berbunyi 'Apakah Ambiga tidak boleh kita anggap penderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan hukum gantung kepada dia?'.

 
Wan Junaidi dalam keputusannya berkata dalam isu itu Mohamad tidak melakukan sebarang kesalahan kerana kenyataan yang dibuat adalah berlandaskan persoalan.

"Kenyataan itu berlandaskan persoalan...jadi ia bukan satu kesalahan.


Sri Gading (Mohamad) tanya boleh atau tidak.


"Yang Al-Maunah sudah dihukum di mahkamah, yang ini (Ambiga) dia (Mohamad) tanya boleh ke tidak. Sama ada menteri buat jawapan atau tidak, itu persoalan lain," kata Wan Junaidi yang turut meminta keputusannya tidak dipolitikkan.


Mohamad ketika bangun mempertahankan dirinya sempat menyelar Lim yang juga Setiausaha Agung DAP kerana dianggap sengaja membangkitkan isu itu atas kepentingan politik demi menarik sokongan masyarakat India.


Beliau turut membidas Lim yang disifatkan telah memutar-belitkan isu itu bertujuan melaga-lagakan beliau dengan masyarakat India serta memburuk-burukkan nama Barisan Nasional (BN).

 
"Dalam kes Ambiga ini terang-terang DAP gunakannya sebagai isu perkauman.

Saya tidak terniat perkauman, saya tak sebut India, Hindu, saya sebut demi keselamatan negara.


"Tetapi DAP yang sudah ketandusan sokongan orang India cuba hendak kaitkan isu ini untuk politik kepentingan mereka, supaya mereka ini benci BN, ini sahaja masalahnya," katanya yang mengaitkan isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang yang disifatkan telah menyebabkan DAP kehilangan sokongan kaum India.


Lim yang dilihat meninggalkan dewan persidangan sebaik Mohamad selesai memberikan penjelasan terus diselar beberapa anggota Parlimen BN termasuk Datuk Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatanagn) yang melabelkan parti pembangkang, khususnya DAP sebagai "hipokrit" dan "Raja Penghasut". - Bernama