Nik Aziz kecam Harussani
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
SHAH ALAM - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan usaha membersihkan pentadbiran beliau daripada rasuah bermula dari dirinya sendiri.

Menurutnya, beliau tidak pernah menggunakan peruntukan menteri besar seperti kenderaan untuk ahli keluarga, rumah, perabot dan kemudahan lain.


Beliau berkata, menteri besar tidak boleh mengambil rasuah kerana mereka juga seorang manusia yang akan dihitung sama ada masuk syurga atau neraka.


“Saya tidak ambil kerana saya tahu pegang jawatan ini (menteri besar), sama ada masuk syurga atau neraka, saya tidak mahu masuk neraka.


“Pembantu rumah pun saya cari sendiri, pengawal keselamatan tiada, kereta yang sepatutnya dua, saya ambil satu sahaja, malah kereta keluarga saya beli sendiri,” katanya dalam ucaptama Wacana Ilmu Buku Rasuah, di sini, semalam.


Beliau berkata, rasuah tidak dapat dihapuskan melalui undang- undang, sebaliknya melalui perubahan akhlak dalam diri sendiri.


“Perkara ini mesti difikirkan oleh rakyat kerana selagi sekular menguasai manusia tiada agama, masalah tidak akan selesai,” katanya.


Mengulas dakwaan penyelewengan dalam pentadbiran Kelantan Golden Trade Centre Sdn Bhd (KGT), beliau memberi jaminan tidak akan menghalang anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu disiasat.


“Sesiapa hendak siasat, 25 jam saya bagi, bukan 24 jam,” katanya.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pada 24 Jun lalu memberi tempoh tiga minggu kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan terbabit.

Awang Adek berkata, hasil siasatan terhadap pengeluar mata wang dinar dan dirham itu harus didedah kepada rakyat, dan jika ada pihak yang mempertikaikannya, kementerian akan mengarah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti membuat siasatan. KGT adalah anak syarikat PMBK yang mengeluarkan, menempa, mengedar, menjual syiling dinar dan dirham Kerajaan Negeri Kelantan.