BN cabar MB Selangor gantung Faekah
26 Jun 2012
Ketika membuat cabaran itu hari ini, Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata tindakan itu perlu sekiranya Abdul Khalid mahu mempertahankan maruahnya kerana sebelum ini beliau pernah menggantung tugas pegawai khasnya atas kesalahan yang sama.
Pada 2008, Abdul Khalid menggantung tugas pegawai khasnya Mohd Yahya Sahri kerana menyalahguna kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor bagi tujuan mengutip derma dari syarikat swasta sempena sambutan 100 hari pemerintahan pakatan pembangkang di Selangor.
Bercakap dalam sidang media di sini, Mohd Zin berkata sikap pilih kasih Abdul Khalid itu dalam mempertahankan setiausaha politiknya dilihat mencurigakan dan percanggahan yang paling terang pernah dilakukannya.
Dalam satu pendedahan baru-baru ini, satu blog mendakwa Faekah menulis surat kepada Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) agar firma guaman milik anak saudaranya dilantik menjadi panel peguam di syarikat berkenaan.
Susulan laporan itu, Faekah mengaku menulis surat terbabit tetapi mendakwa ia bertujuan mendapatkan pertimbangan daripada PNSB berhubung perkara berkenaan.
Sementara itu, Mohd Zin turut mendakwa terdapat salah laku di kalangan pemimpin DAP melibatkan pemberian kontrak kepada firma guaman bagi menguruskan kes Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) baru-baru ini.
Beliau mendakwa anggota DAP yang juga seorang Ahli Majlis MBPJ telah menyalahgunakan kuasanya dengan memberi kontrak kepada firma guaman milik seorang Anggota Parlimen DAP dengan kos sebanyak RM55,000 sedangkan kontrak awal telah diberi kepada pihak guaman lain dengan kos hanya RM15,000 sahaja.
"Melalui kes ini, saya yakin bahawa DAP sebenarnya tidak bersih seperti yang disangka. Penglibatan DAP dalam beberapa salah laku oleh pemimpin DAP sendiri menyebabkan ahli DAP mula hilang kepercayaan terhadap parti itu.
"Kepada rakyat Selangor jangan sesekali tertipu dengan lakonan pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya DAP ini," katanya, sambil menunjukkan salinan dokumen berhubung salah laku itu kepada pemberita.- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment