Selasa, 23 September 2014
MB Baru Selangor Uji Kelangsungan Pakatan Rakyat
A Kadir Jasin
SAMA ada Pakatan Rakyat berada diambang kemusnahan
atau sedang memasuki zaman baru, bergantung pada reaksinya terhadap pelantikan
Mohd Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor hari ini.
Yang pasti beliau bukanlah
pilihan sukarela Parti Keadilan Rakyat. Beliau lebih berupa kehendak Istana.
PKR terpaksa merestui pencalonan
beliau di saat-saat akhir setelah segala usaha “memaksa” Istana menerima Dr Wan
Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal tidak berhasil.
Kalau PKR boleh bertolak-ansur
dan menerima ketentuan ini dengan kewarasan (wisdom), Mohd Azmin boleh menjadi
MB tanpa gangguan dan boleh membuktikan sama ada beliau mampu atau tidak
mentadbir Selangor yang telah mengorbankan banyak MB.
Tetapi kalau PKR masih berkeras
dan berdendam, besar kemungkinan Mohd Azmin akan menjadi seorang lagi MB
Selangor yang dilanda sial dan Pakatan Rakyat menjadi semakin tidak relevan
kepada rakyat Selangor.
PKR dan penyokong fanatik Ketua
Umumnya, Anwar Ibrahim, boleh menggunakan pelbagai cara mengganggu-gugat
kedudukan Mohd Azmin seperti yang mereka lakukan terhadap Abdul Khalid Ibrahim
dalam masa beberapa bulan terakhir ini.
Harapan Mohd Azmin satu saja –
keakraban dan taat setia beliau yang begitu lama dan tidak berbelah bagi
terhadap Anwar. Beliau begitu sabar dan pasrah dikutuk, dicaci dan dimaki-hamun
semata-mata kerana taat dan setia kepada Anwar.
Selama 16 tahun Anwar di dalam
Umno dan sepanjang Mohd Azmin menjadi pegawai peribadinya, saya telah melihat
dan mendengar sendiri bagaimana Mohd Azmin difitnah, dicaci dan dimaki kerana
kesetiaannya. Namun beliau setia.
Azmin, 50 tahun dan isterinya Shamsidar Taharin |
Kalau PKR masih berkeras mahu
memaksakan kehendaknya ke atas semua pihak, khususnya ke atas pengundi
Selangor, semata-mata kerana mahukan dinasti Anwar, saya rasa pengundi dan
rakyat jelata Selangor perlu menimbang semula sokongan kepada PKR dan Pakatan Rakyat.
Drama dan lawak politik Selangor
di bawah PR tidak lagi lucu. Sejak tercetusnya krisis MB Selangor, parti-parti
PR nampak seakan-akan orang mabuk todi dan gian ganja.
Ia juga menguji kebijaksanaan
dan keberkesanan Anwar sebagai ketua atas nama (de facto) PR. Kalau PKR, PAS
dan DAP masih berasa bertanggungjawab terhadap pengundi yang memilih mereka dan
pembayar cukai yang memberi upah kepada mereka, maka mereka perlulah berhenti
membuat lawak. Jenaka mereka tidak lucu lagi.
Dan PAS yang calar-balar terkena
ledakan dalaman PKR dan dicaci-cerca oleh DAP perlulah memikirkan semula bentuk
perkongsiannya dengan dua parti liberal itu.
Sangat hodoh dan memalukan apabila PAS bercakaran sesama sendiri umpama
ayam jantan dalam serkap semata-mata kerana acahan PKR dan DAP.
Sebagai parti berideologikan
Islam dan tertua di kalangan parti-parti PR, PAS tidak sepatutnya membiarkan
dirinya diperalatkan.
Wallahuaklam.
0 orang berkata:
Post a Comment