Piala Malaysia: Semangat membara Gergasi Merah
TERCICIR dalam perebutan gelaran juara Liga Super
serta Piala FA, terkandas awal dalam kempen Piala AFC, kini Piala
Malaysia menjadi satu-satunya trofi yang boleh direbut sang Gergasi
Merah.
Piala Malaysia diakui cukup 'berhantu' walaupun tidak menawarkan slot
ke saingan peringkat Asia dan kini Selangor berada di landasan tepat
untuk menjulang piala itu buat kali ke-34.
Cuma lawan Gergasi Merah kali ini bukan calang-calang pasukan kerana
Lang Merah dari utara tanah air cukup konsisten dalam kembara mereka
menuju pentas akhir dan diakui punya kemampuan untuk mengecewakan
puluhan ribu penyokong setia Merah Kuning.
Musim lalu, skuad Hijau Kuning dan pengendali mereka, Tan Cheng Hoe
tumpas 2-0, membolehkan Piala Malaysia singgah di Lembah Klang, namun
pada musim ini, belum ada kepastian kejayaan itu bakal berulang walaupun
rata-rata penyokong Selangor melaungkan keyakinan.
Gelanggang keramat sang Gergasi Merah menjadi medan tarung akhir yang
dilihat bakal memberi kelebihan kepada skuad Merah Kuning walaupun rekod
bermain di gelanggang sendiri tidak begitu membanggakan pada musim ini.
Selangor boleh dianggap kebal di Stadium Shah Alam pada tahun ini,
namun perlu juga diingatkan, pasukan itu bergelut di awal musim dengan
pelbagai isu termasuk pertukaran jurulatih, Zainal Abidin Hassan yang
sedikit merencatkan corak permainan skuad Merah Kuning.
Bagaimanapun, prestasi ditunjukkan K Gunalan yang menggantikan tempat
Zainal tidak menghampakan kerana berjaya memimpin Gergasi Merah sehingga
ke pentas final di samping menamatkan perjalanan Liga Super di tangga
kelima.
Gunalan dijangka melakukan perubahan taktikal agar gerak langkah
Selangor tidak terus dibayangi rentak permainan Mehmet Durakovic yang
kekal terpahat dalam ingatan penyokong fanatik Selangor sehingga kini.
Mengimbas kembara Selangor dalam kempen Piala Malaysia, juara 33 kali
itu diramal akan berdepan cabaran getir untuk mempertahankan kejuaraan
selepas diundi bersama Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur dalam Kumpulan
B.
Namun satu persatu lawan mereka gugur hasil keberkesanan taktikal
Gunalan dan kesebelasan utama berjaya melaksanakan tanggungjawab
masing-masing dengan baik.
Di pentas suku akhir, Selangor menjinakkan Selangor PKNS untuk mara ke
peringkat suku akhir dengan agregat 5-3 dan lawan mereka seterusnya
adalah pasukan berstatus kelab dari Terengganu, T-Team.
T-Team ternyata lebih liat untuk dijinakkan dan pada perlawanan separuh
akhir pertama di Shah Alam, Selangor hanya mencatat kemenangan tipis
2-1 sekali gus meresahkan penyokong serta kem Red Giants sendiri.
Malah media melaporkan suasana di Stadium Shah Alam agak suram pada
hari perlawanan separuh akhir dan tidak terlihat penyokong berasak-asak
serta berebut membeli tiket walaupun pasukan kesayangan mereka bakal
berjuang untuk merebut slot ke perlawanan akhir.
Bagaimanapun, anak didik Gunalan bangkit dengan corak permainan cukup
kemas pada perlawanan timbal balik di Kuala Terengganu dan membelasah
T-Team 3-0 untuk mara ke pentas akhir dengan agregat 5-1.
Andik Vermansyah menjadi tunjang kekuatan Selangor pada musim ini yang
mana pemain dari Indonesia itu cukup agresif di bahagian sayap dan
kombinasinya bersama Ahmad Hazwan Bakri menjadi seakan suatu daya kuasa
yang sukar dihentikan.
Sementara itu, jentera 'back four' dikemudi Muhammad Shahrom Abdul
Kalam dan pemain kelahiran Parma, Itali, Ugochukwu Ukah, ternyata sukar
ditembusi, cukup liat dan sentiasa bersedia untuk merantai trio import
Kedah, Thiago Fernandes, Shane Smeltz serta Liridon Krasniqi.
Bak kata seorang penyokong tegar Merah Kuning dari Sungai Besar yang
ditemui penulis, mereka tidak sabar-sabar untuk turun memberi sokongan
padu kepada barisan pemain 'Red Giants'.
"Perlawanan akhir ini wajib dimenangi Selangor. Kekalahan di Shah Alam
cukup mengaibkan kerana ini gelanggang keramat kita. Saya harap pemain
berjuang demi lencana di dada dan menang demi penyokong yang menjadi
pemain ke-12. Piala apa sekali pun, kami tetap sokong," katanya.
Sementara itu Muhammad Shahrom dalam satu kenyataan kepada Ultras Sinar
tidak menafikan tekanan tinggi diterima pasukannya untuk memulakan
kempen Piala Malaysia sebagai juara bertahan.
"Penyokong letak harapan menggunung kepada kami. Jangkaan penyokong
memang tinggi sebab kami juara bertahan. Memang ada tekanan tetapi kami
fokus terhadap perlawanan satu demi satu (termasuk perlawanan akhir),"
katanya.
1 orang berkata:
Terima kasih banyak MBAH BUDIANTO berkat bantuan nomor togelnya 4d yang MBAH kasi kemarin tembus 100% alhamdulillah saya dapat 250 juta bagi saudarah saudarah yang terlilit hutang atau pengen punya usaha silahkan konsultasi sama MBAH BUDIANTO dengan cara hubungi atau whatsapp 082333257999 ini kisah nyata dari saya pak sero
Post a Comment