Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Mat Sabu: Masih ramai keliru konsep ulama-profesional dalam PAS

June 03, 2011
KUALA LUMPUR, 3 Jun — Mohamad Sabu, yang bertanding jawatan timbalan presiden buat kali kedua menegaskan, konsep kepimpinan ulama sepatutnya ditekankan dalam Majlis Syura, bukannya diterjemahkan ke atas jawatan-jawatan eksekutif parti Islam itu.

Mohamad, 56, atau lebih mesra dengan panggilan “Mat Sabu” berpendapat bahawa konsep kepimpinan ulama telah menjadi kekeliruan di kalangan ahli menyebabkan golongan profesional sukar mendapat tempat dalam jawatan tertinggi parti itu.

“Bagi saya presiden dan ke bawah boleh sesiapa sahaja yang layak untuk memimpin tiada masalah baik ulama atau profesional.

“Majlis Ulama ini yang perlu ditekankan bukan jawatan eksekutif, ia perlu dipertingkatkan dalam organisasi ini.

“Sebab itu, kalau kita lihat banyak ahli yang salah erti konsep kepimpinan ulama ini dan ia menimbulkan sedikit kekeliruan,” katanya yang terkenal di kalangan akar umbi ahli-ahli PAS dan parti pesaingnya.
“Namun saya pasti perubahan sudah mula berlaku dalam PAS,” kata beliau kepada The Malaysian Insider menjelang muktamar kali ke-57 yang bermula hari ini.

Mohamad Sabu yakin perwakilan PAS akan memberikannya peluang dalam percubaan kali kedua beliau bertanding jawatan timbalan presiden. — Foto oleh Choo Choy May
Beliau yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat bagaimanapun berkata akan terus menyokong konsep kepimpinan ulama dalam Majlis Syura.
 
“Soal kepimpinan ulama ini diperkenalkan pada zaman kami masih Pemuda PAS pada 1982 yang mana ketika itu ketuanya adalah Datuk Mustafa Ali ... memang tidak dapat dinafikan ketika itu anak muda terpengaruh dengan revolusi Islam yang berlaku di Iran yang dipimpin golongan ulama,” katanya.

Mohamad menambah beliau akan terus mendokong konsep kepimpinan ulama dan Majlis Syura perlu diperkukuhkan agar PAS tidak terkeluar daripada dasar perjuangan Islam.

Selain Mohamad, turut bertanding jawatan itu adalah penyandangnya Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Bagaimanapun kedua-dua calon itu tidak dapat diakses untuk ditemu bual khas.

Sebagaimana disaksikan tahun-tahun lalu, soal kepimpinan ulama dan profesional kembali muncul dalam menentukan penyandang jawatan nombor dua parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Minggu lalu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan wujudnya soal kepimpinan ulama atau profesional dalam parti itu.

Malah Ketua Dewan Ulama PAS pusat Datuk Harun Taib menegaskan kepimpinan ulama harus diteruskan dalam parti itu walaupun ia tidak termaktub dalam perlembagaan parti Islam itu.

Ditanya apa matlamat utama yang akan dilakukan sekiranya terpilih untuk jawatan nombor dua itu, Mohamad berkata, PAS perlu bergerak lebih maju ke hadapan selain bertindak lebih agresif menangkis serangan dilakukan Umno-BN terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Tiga perkara yang akan saya lakukan adalah menangkis propaganda Umno-BN mengenai masalah Melayu kononnya orang Melayu tidak akan terjamin sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, ini persepsi yang salah dan propaganda ini harus ditangkis, PAS perlu bertindak segera untuk membalas serangan yang dibuat Umno-BN ini,” kata beliau.

Perkara kedua, menggerakkan usaha bagi PAS mendapatkan sokongan orang bukan Melayu secara berterusan kerana jika tidak berterusan hasrat Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya akan terbengkalai.
Mohamad Sabu berpendapat barisan kepimpinan PAS perlu berubah dengan bersikap lebih agresif dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13. — Foto oleh Choo Choy May
“Ini yang perlu ditekankan selain sokongan orang Melayu juga,” katanya lagi.
 
“Dan, yang ketiga pelan tindakan lebih agresif untuk PAS menggantikan Umno, yang mana kita mahu menggantikan Umno sebagai sebuah parti bukan gantikan perangai dan sifat Umno yang mengamalkan banyak perkara yang tidak betul,” katanya.

Jelas ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini, sekiranya PAS benar-benar serius mahu menawan Putrajaya, satu perubahan besar perlu dilakukan termasuk berusaha mendapatkan sokongan orang bukan Melayu secara berterusan.
 
Justeru, kata Mohamad, beliau berharap dengan pengalaman yang ada perwakilan boleh memberi peluang kepadanya membantu parti selepas tewas kali pertama pada pemilihan 2009.

“Saya mungkin boleh menyumbang kepada parti dalam bidang-bidang yang boleh saya mainkan peranan seperti menarik sokongan orang bukan Melayu.

“Saya boleh memainkan peranan ini untuk tarik orang bukan Melayu kepada PAS, Kelab Penyokong PAS juga perlu diperluaskan lagi ... saya boleh bergerak lebih agresif dalam perkara ini.

“Oleh itu, saya tawarkan khidmat dan saya serahkan kepada perwakilan untuk buat keputusan,” katanya.
Tambah beliau, barisan kepimpinan PAS perlu berubah dengan bersikap lebih agresif dan bukan mengambil pendekatan “sambil lewa” yang akhirnya akan melemahkan parti.

“Saya tidak berpuas hati dengan prestasi parti, kepimpinan PAS yang mana ia masih berada di tahap yang rendah dan ia perlu dikembangkan sebagai contoh dalam beberapa siri pilihan raya kecil kita lihat wakil rakyat DAP lebih menonjol tapi wakil rakyat kita tidak.

“Ada yang datang sambil lewa, ini tidak boleh ... sepatutnya wakil rakyat perlu menyumbang kepada parti dan membantu mendapatkan sokongan ini yang perlu dipertingkatkan,” katanya.


0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.