RAKYAT DAH TAK MAHU DENGAR PANDANGAN ORANG UMNO ?
Umno guna NGO jawab isu satukan Melayu
25 April 2012
SHAH ALAM – Umno mengakui menggunakan sumbangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjawab isu-isu semasa dibangkitkan oleh pihak pembangkang, yang antara lain dilihat akan membantu menyatupadukan orang Melayu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah itu diambil oleh pihak berkenaan bagi menyatakan sokongan kepada parti teras Barisan Nasional (BN) itu selain berperanan membantu menyatupadukan orang Melayu.
Justeru kata beliau, pihaknya tiada pilihan bagi mengelakkan orang Melayu sudah hilang berkuasa dan baru mahu memperbaiki kedudukan dengan mendapatkan bantuan NGO.
“Saya bimbang jangan sampai kita tersepit baru hendak bersatu.
“Sekiranya kita sudah hilang kuasa baru hendak bersatu itu bermakna kita sudah terlambat dan ketika itu, apa yang hendak kita lakukan adalah terlambat kerana orang lain sudah berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui di pejabatnya.
Ketika ditanya mengapa pihak Umno sendiri tidak mengambil inisiatif untuk menjawab isu berkenaan, beliau yang juga Setiausaha Agung BN berkata, dari pihaknya beliau sudah mula menjawab jika ditanya.
Kebergantungan Umno ke atas NGO dilihat ketara selepas PRU12 empat tahun lalu. “Kita ada ramai orang dalam parti, ada yang dalam parti yang tidak suka bercakap, ada yang tidak faham, ada yang tidak tahu dan inilah masalahnya, jadi kita terpaksa guna orang-orang tertentu untuk memberikan jawapan.
“Kadang-kala saya kasihan melihat hanya perdana menteri dan timbalannya yang terpaksa menjawab. Kalau bagi dekat saya, saya mesti jawab,” jelas beliau lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai amaran Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Barisan Nasional (BN) berdepan dengan sekurang-kurangnya tujuh isu utama yang menjadi agenda pembangkang bagi memenangi hati rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan Jun ini sebagai isu basi.
Minggu lalu, Rais yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, antara isu utama bakal dimainkan adalah kenaikan harga barang dan petrol.
“Isu royalti minyak di Kelantan turut jadi bahan kempen mereka. Tidak terkecuali, isu kerakyatan di Sabah dan Sarawak yang turut dipolitikkan,” katanya.
Menurut Tengku Adnan, isu yang ingin dibawa oleh pihak pembangkang disebabkan mereka tidak mempunyai isu lain dan kerana mereka dilihat suka menyerang peribadi seseorang.
“Bagaimana mereka boleh memastikan harga barang tidak naik? Harga barang ditentukan oleh dunia bukan kita. Pembangkang hanya pandai bercakap tetapi bila dilaksanakan nanti rakyat juga akan menerima kesan.
“Sudah berapa banyak kerajaan sudah subsidi dan rakyat sepatutnya bijak menguruskan kehidupan seharian dengan membuat pilihan dengan bijak. Jangan mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment