KOTA BHARU - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) percaya sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu akan terjejas jika pimpinan parti itu gagal menyelesaikan isu kontroversi kedai gunting rambut di Kelantan.
 
Pengerusinya, Hoo Pang Chow berkata, walaupun isu itu dianggap remeh dan kecil kerana melibatkan segelintir masyarakat Cina di kawasan terbabit, namun ia boleh menjejaskan sokongan rakyat bukan Islam terhadap masa depan parti itu, khasnya di Kelantan.

“Sebagai sayap baru parti itu, kita hanya mampu memberi pandangan kerana kita lebih mengetahui kehendak masyarakat bukan Islam dalam membela nasib mereka,” katanya.


Beliau berkata Kerajaan Pas Kelantan wajar mendengar pandangan masyarakat bukan Islam dalam menangani isu kontroversi membabitkan kedai gunting rambut itu.


Beliau kesal dengan sikap sesetengah pemimpin parti itu bertindak melampaui batas dalam melaksanakan dasar Islam sehingga sanggup melampaui batas agama demi mempertahankan perjuangan parti sekali gus mengetepikan kehendak dan hasrat rakyat bukan Islam.


Katanya, apa yang dikehendaki masyarakat bukan Islam ialah kesejahteraan melalui gaya hidup yang sihat, tempat tinggal yang selesa dan pendapatan lumayan.


“Mereka (pimpinan Pas) sepatutnya lebih bertindak sebagai mendidik supaya setiap rakyat boleh menerima segala peraturan dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk melalui peraturan dan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan.


“Inilah antara nasihat yang sentiasa saya berikan kepada pimpinan Pas dalam menyatakan pandangan berhubung isu kedai gunting rambut dalam kalangan pengusaha bukan Islam di bandar ini,” katanya.


Katanya, beliau sebagai ketua satu daripada sayap parti akan turun padang menjelaskan kepada penyokong DHPP di seluruh negara berhubung isu itu.


Beliau juga berharap perbincangan yang dibuat antara kerajaan negeri dengan beberapa pertubuhan yang mewakili masyarakat Cina baru-baru ini, menemui jalan penyelesaian.


Isu itu timbul dan menjadi hangat baru-baru ini apabila seorang pengurus kedai gunting rambut di Kota Baharu, Ong Lee Ting mendakwa beliau disaman 11 kali oleh pihak

berkuasa tempatan kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam sejak 2010.

Akibatnya, dia didenda antara RM200 hingga RM350 dan mendakwa ramai lagi pemilik kedai gunting turut menghadapi perkara sama.


Tindakan kerajaan negeri itu juga turut dikecam Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang dilaporkan berkata mereka yang bukan Islam boleh membawa perkara itu ke mahkamah.


Bagaimanapun isu itu dipertahankan kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan yang bertegas apa yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan.