BUKAN KE JIKA LAKSANA HUKUM ISLAN NANTI ADA YANG MAKAN SUP TANGAN KAT KELANTAN ?
Mahathir: 'Islam agama keamanan'
17 Disember 2012
DI Nigeria hari ini terdapat kononnya gerakan Islam
yang bernama “Boko Haram”. Saya tidak pasti makna “Boko” tetapi bunyinya
semacam dengan “Buku” dalam Bahasa Melayu. Mungkin yang dimaksudkan
dengan “Boko” ialah Kitab Injil.
Walau apa pun maknanya yang jelas ialah kumpulan “Boko Haram” ini
sedang membunuh orang Kristian dan menyerang gereja mereka. Tetapi
mereka juga membunuh ramai orang Islam, bahkan lebih ramai orang Islam
yang dibunuh dari orang bukan Islam.
Inilah yang sering berlaku apabila sekumpulan orang Islam anggap hanya
mereka sahaja yang betul-betul Islam dan orang Islam lain tidak Islam
dan boleh dibunuh.
Kita orang Melayu di Malaysia semuanya terdiri dari Ahli Sunnah Wal
Jamaah dan berimam dengan Imam Shafie. Sepatutnya kita tidak menghadapi
apa-apa masalah fahaman Islam yang berbeza-beza. Malangnya Islam
diperalatkan oleh segolongan politikus sehingga berlaku tuduhan bahawa
orang yang tidak bersama dengan parti mereka tidak Islam dan murtad.
Walaupun mereka tidak ganas seperti “Boko Haram” tetapi permusuhan oleh
orang yang anggap mereka sahaja yang Islam dengan orang yang tidak
bersama dengan mereka yang didakwa tidak Islam berjaya memecah-belah dan
melemahkan orang Islam di negara ini. Apabila lemah maka mudahlah orang
Islam diperkosa oleh orang lain.
Kita sering dengar tokoh-tokoh agama mendakwa bahawa orang Islam itu
adalah bersaudara. Tetapi ayat al-Quran ini hanya dibibir mulut sahaja.
Amalannya berlainan.
Kata pihak yang memurtadkan seteru politik mereka, mereka memurtadkan
seteru politik kerana tidak melaksanakan syariat Islam. Benarkah? Apa
yang dilakukan oleh kita dilakukan juga oleh negara-negara lain yang
diiktiraf sebagai negara Islam dengan penduduk yang diterima sebagai
penganut agama Islam. Jika kita murtad maka kebanyakkan orang Islam
didunia ini tentulah murtad juga. Kenapakah yang mendakwa tiga juta
orang Umno murtad tidak pula mendakwa umat Islam di negara-negara yang
kononnya tidak laksana syariat Islam adalah murtad? Sebabnya ialah
kerana tidak menguntungkan politik mereka.
Apakah yang dimaksudkan dengan syariat Islam? Ada yang berpendapat
bahawa oleh kerana penyanyi dibenarkan menyanyi di Malaysia maka ini
bermakna Kerajaan Malaysia tidak mengamalkan syariat Islam. Kalau ini
bermakna tidak mengikut syariat Islam maka hampir semua negara Islam
tidak mengikut syariat Islam.
Kita harus ingat di Malaysia bukan sahaja ada orang Islam tetapi 40
peratus dari penduduk Malaysia terdiri dari bukan Islam. Sesuatu yang
tidak disukai oleh ALLAH SWT yang disebut dalam al-Quran ialah mereka
yang mencetus huru-hara. Dalam melaksanakan syariat Islam di Malaysia
cara yang sesuai ialah dengan tidak mencetuskan huru-hara. Kelonggaran
yang diberi dalam perlaksanaan syariat Islam membolehkan kita bertindak
dengan mengambil kira keadaan dalam melaksanakan hukum-hukum Islam.
Yang suka menjadikan Islam agama yang keras dan tidak bertimbang rasa
serta tidak berperikemanusian ialah pentafsir yang berkepentingan.
Demikian ada orang Islam yang menganggap orang tidak berjanggut tidak
Islam dan perlu disembelih. Demikian juga gerakan Boko Haram yang
membuat syarat-syarat tersendiri untuk diterima sebagai orang Islam dan
membunuh orang yang tidak patuh pada syariat ciptaan mereka.
Pelaksanaan syariat Islam di Malaysia mungkin berlainan dari
penguatkuasaan syariat Islam di negara yang penduduknya semuanya Islam.
Kita tidak ambil kisah dengan amalan dan budaya orang bukan Islam. Kita
tahu apabila percubaan dibuat untuk memaksa bukan Islam amal nilai hidup
Islam seperti tidak membenar lelaki potong rambut wanita dan
sebaliknya, akhirnya ia hanya memalukan orang Islam dan Islam apabila
terpaksa dibatalkan. Demikian juga dengan tuduhan khalwat yang dilakukan
oleh orang bukan Islam.
Sebaliknya apabila syariat Islam dibuat dengan menyediakan bank Islam
yang bebas dari riba, Universiti Islam, Pengurusan Tabung Haji bagi
menentukan amalan ini lebih sempurna, perkembangan ajaran Islam dengan
mengadakan sekolah-sekolah agama, pengurusan zakat yang lebih tertib dan
berbagai lagi, tidak ada huru-hara yang berlaku. Demikian dengan
penguatkuasaan undang-undang Islam di kalangan orang Islam dan penentuan
undang-undang yang terpaksa dikenakan kepada penganut-penganut agama
yang berlainan yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Menggalakkan gerakan seperti Boko Haram atau memurtadkan orang Islam
tanpa usul periksa bukan cara kita, bahkan bukan cara Islam pun.
Janganlah sesiapa cuba menghalalkan perbuatan salah mereka dengan
menyalah guna undang-undang Islam. Mereka yang berbuat demikian perlu
bertaubat. Sudah tentu mereka wajib tarik balik dakwaan kononnya ahli
Umno murtad. Ingatlah bagaimana dahulu Pas mendakwa Umno kafir kerana
bekerjasama dengan orang bukan Islam. Seperti yang dijanji dalam
Al-Quran tuduhan ini kembali kepada yang menuduh kerana mereka sekarang
bekerjasama dan berpeluk-peluk dengan orang kafir, bahkan sanggup mati
mempertahankan pemimpin orang kafir……. perbuatan mereka mengikut mereka
sendiri menjadikan mereka kafir.
Janganlah hendaknya dakwaan oleh mereka bahawa orang Umno murtad akan
kembali kepada mereka. Orang Islam tidak perlu berlaku ganas kerana
agama Islam tidak menyuruh kita melaku ganas atau ketidakadilan kepada
sesiapa.
Agama Islam adalah agama keamanan, agama yang mengajar kita supaya melaku adil dan tidak mencetuskan huru-hara.
* Dipetik dari blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
0 orang berkata:
Post a Comment