23/11/13
Hakim 'berkongsi besan' tarik diri rayuan Anwar
PUTRAJAYA - Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk
Wira Mohtarudin Baki hari ini menarik diri daripada panel tiga anggota
mahkamah itu bagi mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
membatalkan dua pertuduhan dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman
2012 iaitu menyertai perhimpunan Bersih 3.0 tahun lepas.
Hakim Mohtarudin berkata, beliau dan Anwar "berkongsi besan" dan
berikutan hubungan peribadi itu, mereka pasti akan bertemu dalam
mana-mana kenduri.
"Saya berasa tidak selesa untuk mendengar rayuan ini. Saya ingin menarik diri," katanya.
Panel itu dipengerusikan oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi dijadual
menengar rayuan Ketua Pembangkang itu hari ini tetapi pendengaran itu
dijadualkan semula ke 5 Februari tahun depan selepas Hakim Mohtarudin
menarik diri.
Seorang anggota panel ialah Hakim Datuk Rohana Yusuf.
Hakim Balia berkata' rayuan itu akan didengar panel baharu Mahkamah Rayuan.
Anwar, 66, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada
18 Januari tahun ini yang menolak permohonannya untuk membatalkan dua
pertuduhan yang dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman.
Pada 22 Mei lepas, Anwar dituduh telah melanggar perintah mahkamah
dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran
Merdeka pada 28 April tahun lepas.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali dan Ketua PKR
Cawangan Rembau Badrul Hisham Shaharin turut menghadapi pertuduhan sama.
Mereka juga menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat dengan tiga
individu melanggar perintah mahkamah yang melarang sebarang perhimpunan
diadakan di Dataran Merdeka pada hari berkenaan, dengan mereka didakwa
menghasut R. Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim @ Alias
mengalihkan penghadang yang diletakkan pihak berkuasa di Dataran
Merdeka.
Anwar diwakili peguam Karpal Singh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff. - Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment