Isnin, 4 November 2013
Sg Limau: Calon PAS antara terawal buang undi
Mohd Azam membuang undi ke dalam peti undi di Sungai Limau, Kedah. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 4 November, 2013.
Calon PAS, Mohd Azam Abd Samat antara yang terawal membuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Limau pagi ini.
Mohd Azam tiba di perkarangan sekolah seawal jam 8 pagi dan bersarapan dengan penyokong sebelum masuk ke pusat membuang undi sekitar jam 8.30 pagi.
"Saya harap pilihan raya kali ini berjalan dengan lancar dan telus, serta proses demokrasi kali ini berjalan dengan baik," kata Mohd Azam semasa ditemui wartawan di luar kawasan sekolah.
Sementara itu, pengundi warga emas antara yang terawal hadir ke pusat mengundi SK Bukit Besar, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota polis sibuk berkawal sekitar kawasan sekolah.
Petugas-petugas SPR juga sibuk membantu pengundi yang tidak dapat berjalan dengan menyediakan kerusi roda serta memapah pengundi masuk ke dalam sekolah.
Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir juga dijadualkan singgah di SK Bukit Besar untuk meninjau proses pilihan raya yang berlangsung di sini.
Kawasan sekitar tenang dan tiada sebarang provokasi tercetus.


0 orang berkata:
Post a Comment