KOTA BHARU- Umno Bahagian Kubang Kerian memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukum hudud dengan memohon ia dipercepatkan dalam masa terdekat ini.

Ketuanya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, memandangkan kerajaan negeri sudah mendapat kelulusan syariah sejak 1993, beliau menyatakan inilah masa terbaik untuk pelaksanaan itu.

“Saya menyokong kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mahu hudud disegerakan sebagai mengikut jejak Brunei dalam menegakkan hukum tersebut.

“Lebih 20 tahun kerajaan negeri mendapat kelulusan syariah, jadi mereka perlu menyegerakan pelaksanaan hudud dan kerajaan pusat memberi sokongan penuh dengan adanya penubuhan Kompleks Mahkamah Syariah di Tunjung,” katanya.

Sabtu lalu, Annuar dalam kenyataannya berkata, urusan agama terletak di bawah bidang kuasa negeri sepenuhnya yang memerlukan kerjasama bagi mendaulatkan hukum ALLAH SWT di Kelantan.

Selain itu, Annuar juga mahu pihak yang rapat dengan DAP menasihatkan pucuk pimpinan parti itu tidak campur tangan dalam urusan pelaksanaan hukum hudud.

Muhammad berkata, dengan adanya Kompleks Mahkamah Syariah itu, kerajaan negeri perlu segera merancang ke arah pelaksanaan hudud.

Katanya, apabila pelaksanaan hudud itu dijalankan, beliau nasihatkan ia tidak bercampur aduk dengan hal politik kerana hukum tersebut dilakukan atas sebab Islam.