• Mohamed Hafiz Nordin Mohamed Hafiz Nordin
1 / 1
GEORGETOWN - Tunjukkan kesungguhan untuk melaksanakan hudud di Kelantan agar ia menjadi satu kenyataan dan bukan sekadar omongan kosong.

Sekarang ini, umat Islam tertunggu-tunggu perkembangan itu dan mahu melihat keputusan positif ke arah itu kerana sudah lama menantinya.


Presiden Gabungan Bela Hak Insan Pulau Pinang (Gabungan), Mohamed Hafiz Nordin berkata, sebagai umat Islam, semua pihak menyokong cadangan itu walaupun dibangkitkan oleh orang Pas tetapi kemudian disambut orang Umno.


Beliau berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjayakannya hasrat Kerajaan Kelantan setelah sekian lama tertangguh.


“Ini adalah proses yang panjang dan pasti mengambil masa agak lama sebelum dapat dilaksanakan. Kerajaan Kelantan perlu duduk berbincang dengan kerajaan pusat untuk pelaksanaannya lancar.


“Kita mendoakan hasrat murni ini akan berjaya. Ini hanya satu juzuk daripada usaha kita untuk menegakkan hukum ALLAH di negara ini dan menyatukan umat Islam dalam satu saf,” katanya kepada Sinar Harian semalam.  


Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat perlu bersungguh-sungguh untuk memastikan hukum itu dapat ditegakkan dalam tempoh terdekat.


Menurutnya, persediaan rapi wajar dilakukan sebelum hudud diperkenalkan di Kelantan kerana membabitkan pelbagai aspek lain termasuk undang-undang peringkat pusat dan penguatkuasaan undang-undang itu kelak.  


Selain itu, usaha mentarbiahkan umat Islam dengan kesedaran pelaksanaan hukum ALLAH wajar dilakukan agar tidak berlaku pertembungan antara amar makruf dan nahi mungkar.


“Perkara mungkar dan maksiat perlu dihentikan mulai sekarang jika kita serius untuk menegakkan hukum ALLAH.


“Sebagai contoh, rancangan televisyen yang memaparkan keadaan artis yang memakai pakaian ketat, menjolok mata dan mendedahkan aurat perlu dihentikan,” katanya.


Begitu juga dengan pusat hiburan dan pelbagai aktiviti lain yang bercorak maksiat termasuk perjudian perlu dihentikan operasinya agar tidak menjadi bahan ketawa pihak lain.


“Kalau kita serius, semua perkara maksiat tidak boleh dibiarkan berterusan sebaliknya dihapuskan agar syariat Islam ditegakkan. 

 
Mohamed Hafiz berkata, Malaysia tidak perlu melihat kepada negara lain untuk melaksanakan hudud kerana perbezaan yang wujud.

“Kita tidak perlu merujuk kepada Brunei dalam urusan hudud. Mereka berbeza kerana rakyatnya majoriti Islam dan pemerintahan beraja.


“Apa yang Sultan kata akan menjadi ikutan rakyatnya. Tetapi kita perlu merujuk kepada Parlimen untuk meminda undang-undang sebelum dapat melaksanakannya” katanya.


Beliau berharap kerajaan akan mengikut acuannya sendiri untuk melaksanakan hudud kerana Malaysia berbeza dengan negara lain tetapi mempunyai kekuatan sendiri.