• Pemilu
1 / 1
JAKARTA  - INDONESIA. Tindakan Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Megawati Soekarno Putri dan bakal calon presiden dari parti berkenaan, Joko Widodo atau Jokowi, mengadakan pertemuan dengan duta besar negara asing malam Isnin, menerima kritikan.

Ini boleh menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat, kata pemerhati politik.

Burhanudin Muhtadi dari Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah, berkata tindakan parti itu yang sengaja menampilkan pertemuan berkenaan di media massa adalah sesuatu sikap yang tidak perlu.

"...kalau mahu bertemu duta-duta besar kenapa harus terbuka dan di rumah pengusaha (ahli perniagaan)?," katanya di sini, dipetik akhbar Kompas, Selasa.

Megawati dan Jokowi dikatakan bertemu duta besar Turki, Amerika Syarikat, Mexico dan Norway.

Sebelum itu, Jokowi sempat diperkenalkan dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di kediaman Megawati, di sini, Isnin petang.

Dengan menampilkan pertemuan tersebut, Burhanuddin berkata ia memberi kesan bahawa Megawati dan Jokowi telah membuat kesepakatan tertentu dengan pihak asing jika Jokowi dipilih menjadi presiden Indonesia pada Pemilihan Umum (Pemilu) Presiden, 9 Julai ini.

"Jadi, bagi saya menampilkan satu pertemuan dengan pihak asing itu secara terbuka tidak baik. Ada kesan (mungkin) Mega, Jokowi dan PDIP membuat kesepakatan (dengan pihak asing)," katanya.

Pemerhati politik dari Charta Politika, Yunarto Wijaya pula berkata pertemuan itu boleh dijadikan modal kepada lawan politik Jokowi bahawa Gabenor Jakarta itu adalah 'boneka asing'.




Dalam reaksinya terhadap isu itu, Jokowi berkata pertemuan dengan duta besar negara asing itu adalah kesempatan belajar cara pergaulan dengan masyarakat antarabangsa sekali gus untuk mendapat sokongan dari negara asing terhadap pencalonannya sebagai bakal calon presiden Indonesia. - Bernama