• Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih tidak mahu mendedahkan sama ada beliau akan memenuhi arahan Lembaga Disiplin PKR untuk menghadiri sesi pendengaran, jam 3 petang, esok.

Menurutnya, semua akan dijelaskan melalui surat yang akan dijawab kepada Lembaga Disiplin PKR sebelum 10 pagi, esok.

"Saya tak ada apa nak beritahu apa yang berlaku sehingga menjawab surat itu.

"Surat itu akan dijawab sebelum 10 pagi, esok," katanya kepada pemberita ketika ditemui sebelum Majlis Solat Hajat Perdana 'Munajat Selamatkan Gaza dan Selangor Bumi Bertuah' di kediaman rasminya, hari ini.

Abdul Khalid berkata, beliau enggan mengulas lanjut ekoran tidak mahu pihak Lembaga Disiplin mendapat jawapan sebelum suratnya diserahkan, esok.

"Saya akan menjawab surat itu malam ini, apabila saya habis program ini. Jawapan itu saya akan beritahu media, esok.

"Jadi, buat masa ini saya tak nak beritahu apa dalam jawapan saya kerana kalau saya beritahu jawapan saya (sekarang), mereka tak dapat jawapan (dari saya) tapi dah ada jawapan (dari media). Jadi, saya akan beritahu, esok," katanya.

Ketika ditanya sama ada surat jawapannya merangkumi lima tuntutan Lembaga Disiplin, Abdul Khalid hanya menjawab, 'tak ada. Jawapan saja."

Jelasnya, soal Langkah Kajang disebut dalam surat notis tunjuk sebab yang dibuatnya semalam ekoran perkara itu disentuh dalam notis tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin PKR.

Hari ini, Lembaga Disiplin PKR memberitahu pihaknya telah meminta Abdul Khalid untuk hadir ke sesi pendengaran, esok.

Abdul Khalid perlu memberi penjelasan kepada beberapa perkara berbangkit seperti soal penstrukturan air Selangor, elaun menteri besar, lebuhraya baru Kidex, kenaikan cukai bagi lesen perniagaan dan pinjaman Abdul Khalid dengan Bank Islam.