• Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
KLANG - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sedang berdepan isu pertukarannya sebagai Menteri Besar Selangor, kini dibidas pula ahli Parlimen dalam pakatan pembangkang yang menyifatkan keputusannya untuk tidak melaksanakan catuan air kedua di negeri ini sebagai "kurang bijak".

Anggota jawatankuasa DAP Selangor Charles Santiago yang juga Ahli Parlimen Klang mendakwa krisis air di negeri ini kini telah mencapai tahap darurat, dan tindakan Abdul Khalid itu dilihat semata-mata mahu menyelamatkan kelangsungan politiknya.

Baru-baru ini, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bermesyuarat pada 20 Julai lepas telah menerima cadangan untuk menggantikan Abdul Khalid dan mencalonkan Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengisi jawatan itu.

Charles mendakwa paras empangan utama iaitu Empangan Sungai Selangor yang membekalkan 60 peratus sumber air kepada seluruh rakyat negeri itu boleh menurun sehingga ke paras 30 peratus selewat-lewatnya minggu depan dan dilihat sebagai tahap kritikal.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus Hairi ketika dihubungi Bernama berkata paras
air semasa empangan utama tersebut belum mencapai tahap kritikal.

"Setakat hari ini, paras empangan Sungai Selangor berada pada tahap 33 peratus dan kadar ini menurut Lembaga Urus Air Selangor, tidak termasuk peratusan mendapan seperti lumpur dan sebagainya.

"Seperti yang dinyatakan menteri besar, memang belum ada cadangan untuk catuan kerana paras air sekarang masih mampu menampung keperluan semasa rakyat namun dinasihatkan semua pihak dapat terus menjimatkan air," katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Yunus dalam satu kenyataan berkata terdapat pihak-pihak tertentu cuba mensabotaj usaha kerajaan negeri bagi menyediakan bekalan air kepada rakyat negeri ini.

Tindakan mensabotaj yang berlaku untuk kali kedua di kolam Hang Tuah, Bestari Jaya dekat sini kira-kira pukul 2.30 pagi semalam apabila pasukan yang bertugas di tempat pengepaman air menemui enam 'powerpack' pam yang berfungsi menyalurkan air ke kolam dirosakkan.   

Pada Ahad lepas, insiden yang sama berlaku mengakibatkan operasi  mengepamair dari Sistem Penambahan Luar Sungai Hibrid (Horas) ke sungai terganggu selama lima jam dan mengakibatkan pengeluaran air sebanyak 70 juta liter padu tergendala.

Katanya semua kabel yang dipasang pada pam-pam berkenaan juga dipotong namun ia tidak menggugat pengalihan bekalan air mentah ke loji rawatan air.

"Tindakan pantas pasukan yang ditugaskan di tempat pengepaman air dengan mengambil langkah-langkah perlu, berjaya memastikan kerosakan tersebut tidak berlarutan bagi mengatasi perbuatan khianat berkenaan," katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden itu. - Bernama