• Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
1 / 1

KLANG - Di sebalik  kemelut  perebutan kerusi Menteri Besar Selangor yang berlaku dalam politik Selangor kini, menteri besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim nampaknya langsung tidak tergugat malah sebaliknya menzahirkan rasa gembira.

Abdul Khalid menyatakan beliau seronok dan berazam bekerja keras untuk rakyat Selangor malah menjadikan kritikan dan desakan itu sebagai pemangkin semangatnya.

"Saya seronok sebab saya sekarang dapat melihat jambatan baru Klang dengan lebih senang. Apa-apa yang saya nak lakukan memberi azam untuk saya bekerja untuk rakyat Selangor.

"Oleh kerana desakan ini saya mesti buat kerja dengan lebih cepat, tertib dan betul, " katanya ketika sidang media selepas acara pecah tanah Jambatan Ketiga Klang hari ini.

Semantara berdepan tindakan disiplin oleh partinya, Abdul Khalid membalas surat tunjuk sebab berhubung alasan beliau mengingkari keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memintanya meletak jawatan sebagai menteri besar.

Menurut beliau, atas dasar ketelusan surat berkenaan dibalas kerana ia melibatkan integritinya sebagai pemimpin nombor satu Selangor.

"Saya sudah membalas surat tersebut apabila mereka dapat surat berkenaan dan atas dasar ketelusan saya rasa mereka akan muat turun surat itu untuk perhatian ahli-ahli PKR.

"Saya juga menghantar semua dokumen yang dikatakan salah laku kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan Bank Islam. Surat peribadi saya juga telah dihantar ke bank tersebut," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan mengenai sokongan penuh ahli PKR kepada Adun Kajang, Datuk Seri Wan Azizah beliau hanya menyifatkan kenyataan itu sebagai kenyataan peribadi mereka.

"Saya merasakan kenyataan-kenyataan itu sendiri. Oleh sebab itu, saya akan buat apa-apa tindakan selepas saya dapati kesahihan penerimaan dan juga keputusan-keputusan yang dicapai selepas 10 Ogos iaitu Mesyuarat Kepimpinan PR. Saya akan buat kenyataan akhbar selepas mesyuarat itu," katanya.