• Wan Azizah Wan Ismail Wan Azizah Wan Ismail
1 / 1
SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menggesa semua ahli PR bersatu dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian menamatkan kemelut politik yang melanda Selangor.

Menurutnya dalam sebuah kenyataan hari ini, rakyat kini menuntut politik lebih matang dan progresif dari kesemua pemimpin PR.

“Saya mengikuti perkembangan isu-isu politik terkini. Nada dan ritma perbincangan di kalangan ahli-ahli keluarga PR pada kala ini seakan menampakkan emosi yang tidak begitu positif.

“Kita semua perlu ingat dan sedar, Pakatan Rakyat yang telah wujud sejak 2008 adalah manifestasi dan penzahiran harapan rakyat.

"Rakyat mengharapkan suasana politik yang lebih positif, yang berasaskan nilai dan aqliah,” katanya.

Tambah Wan Azizah, dengan persepakatan yang ada, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada parti malah turut membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Krisis politik di Selangor semakin meruncing apabila PKR tetap dengan pendirian untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagaimanapun, keputusan tersebut mendapat tentangan keras daripada beberapa pemimpin tertinggi Pas.

Anwar juga dikatakan telah menempelak tindakan beberapa pimpinan tertingggi Pas yang membantah keputusan sebulat suara yang dicapai menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan PR, 23 Julai lalu.

Tegas Anwar, setiap parti di dalam PR wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama.

“Saya percaya, kita semua mahukan yang terbaik buat bukan sahaja rakyat di Selangor malah yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

“Oleh itu, saya gesa semua ahli keluarga PR dari semua parti untuk bersatu dan bersama mencari jalan penyelesaian terbaik bukan sahaja untuk negeri yang kita tadbir, tetapi untuk masa depan negara yang lebih baik,”  katanya lagi.