• Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor,  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang teguh pesanan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menasihatinya sabar memerangi munafik dalam arena politik.

“Tuan Guru ingatkan saya dalam politik ada ramai pemimpin yang hipokrit dan munafik. Kita seharusnya tidak memalukan munafik tetapi mesti sabar, sama-sama betulkan.

“Pendekatan Rasulullah SAW telah berjaya meningkatkan syariat Islam tanpa menjatuhkan maruah orang lain tetapi membetulkan mereka,” katanya dalam ucapan sempena Solat Hajat Perdana “Munajat Selamatkan Gaza dan Selangor Bumi Bertuah” di sini, semalam.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak pasti dapat melaksanakan amanat tersebut dengan baik ataupun sebaliknya.

“Saya cuba jalankan tugas dengan baik dan bertanggungjawab seperti disyariatkan Islam dan yang diharapkan rakyat Selangor.

“Kejayaan Selangor bukanlah bergantung kepada politik sebaliknya dibuktikan dengan pemerintahan Islam adil dan amanah,” tegasnya.

Beliau turut tidak akan berkompromi terhadap pihak yang cuba hina dan merosakkan Islam.