• pkr
1 / 1
PUTRAJAYA - Pakatan Anak-anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan menangguhkan Kongres Tahunan PKR 2014, atas dasar beberapa aduan terhadap parti itu masih dalam siasatan.
    
Ketua Pemuda Pasmeb Norizwan Mohamed mendakwa antara aduan yang dikemukakan berhubung kait dengan unsur rasuah, dakwaan politik wang dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan PKR 2014.
 
Beliau mendakwa lebih 40 aduan telah dibuat di jabatan itu oleh pelbagai cawangan PKR di seluruh negara berhubung dakwaan penyelewengan pemilihan parti berkenaan.
    
"Saya menuntut JPPM untuk bertindak segera menghentikan Kongres Nasional PKR 2014 bagi memberi ruang dan tumpuan terhadap usaha menyelesaikan dakwaan penipuan pemilihan 2014," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada jabatan itu di sini hari ini. 
    
Kongres itu dijadualkan dari 22 hingga 24 Ogos di Stadium Melawati, Shah Alam dan dijangka dihadiri anggota perwakilan dan pemerhati PKR dari seluruh negara. 
   
Seorang aktivis Ally Hazran turut mendakwa mempunyai klip video sebagai bukti berlakunya penyelewengan dan rasuah dalam pemilihan parti itu. - Bernama