• kemelut politik
1 / 1
SHAH ALAM - Kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor antara isu yang menjadi tumpuan dalam perbahasan ucapan dasar di perwakilan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) ke-10,  di sini, hari ini.

Perwakilan dari Perak, Md Shahanaz Nazarudin berkata, krisis yang berlaku perlu dijadikan pengajaran agar semua parti dalam PR bersatu menghadapi masalah.

"Kita memuji sikap DAP dan Pas yang membuat keputusan demi kesepakatan PR. Namun, di sebalik isu di Selangor,  saya berpandangan kita sebagai parti yang bermasalah perlu dibantu.

"Bukannya kita dijadikan bola tanggung dan 'smash' kita. Teruskan toleransi seperti pepatah 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh' supaya PR tidak akan berpecah," katanya.

Sementara itu, perwakilan Selangor, Justin Raj menyifatkan kemelut di Selangor perlu diselesaikan segera agar peristiwa hampir sama di Perak pada 2009 tidak berulang.

"Selangor adalah kubu kuat PR dan kita mendapat mandat daripada majoriti rakyat negeri ini. Malangnya, krisis yang berlaku telah dijadikan modal oleh pihak lawan untuk memburukkan PR.

"Kita tak nafikan isu ini telah membuatkan rakyat bimbang dan mengundang persepsi negatif mereka. Oleh itu, kita perlu bertindak dengan matang untuk menyelesaikan masalah ini dengan bijak terutamanya kerana ia turut melibatkan kesucian institusi diraja," katanya.