• Samsu Adabi Mamat Samsu Adabi Mamat
1 / 1
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu memohon segera kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk membubarkan Dun bagi memastikan beliau dapat berundur daripada kerusi itu secara terhormat.

Pensyarah Kanan Program Sains Politik Pusat Pengajian Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, pembubaran Dun merupakan perkara paling adil diberikan kepada rakyat Selangor.

Menurutnya, tindakan Pas yang telah membuat keputusan untuk terus kekal dalam PR menyebabkan Abdul Khalid hilang peluang untuk terus memegang kerusi nombor satu Selangor itu.

“Melalui hasil tinjauan umum dan reaksi daripada rakyat Selangor, mereka secara jelas masih mahukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Untuk memberi situasi menang-menang terutama kepada rakyat Selangor, maka pembubaran Dun adalah yang paling tepat dilakukan Abdul Khalid.

“Isu kos pilihan raya negeri (PRN) tidak lagi menjadi masalah kepada rakyat Selangor malah jika dibubarkan Dun, itu adalah antara yang dimahukan rakyat Selangor untuk menghukum PR yang mempermainkan kepercayaan mereka pada PRU13 yang lalu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, PRN akan menentukan sejauh mana krisis itu memberikan kesan terutama sokongan rakyat kepada PR.

“Pembubaran Dun merupakan tindakan wajar dilakukan Abdul Khalid terutama untuk menghukum rakan lamanya dalam PR setelah apa yang dilakukan parti gabungan itu kepada Abdul Khalid.

“Soal beliau ingin bertanding atau tidak (dalam PRN), itu tidak menjadi masalah, terpulang kepada Abdul Khalid. Yang penting adalah keadilan kepada rakyat Selangor,” katanya.

Kata Samsul lagi, jika Abdul Khalid melengahkan pembubaran Dun, ia akan menyebabkan krisis itu berlarutan sehingga menafikan hak kebajikan rakyat yang sudah diabaikan sejak bermulanya isu ini.

“Pihak Istana (Selangor) awal-awal lagi telah menolak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor dan tidak mustahil akan menolak calon lain yang dikemukakan PR selepas itu.

“Ini secara tidak langsung akan menyebabkan krisis berlarutan dan akan ada tekanan hebat kepada Istana terutama daripada masyarakat awam seperti pertubuhan bukan kerajaan yang mahukan krisis ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya.


Pilihan raya negeri penentu terbaik

Sementara itu, Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan berkata, penyelesaian terbaik untuk kemelut politik di Selangor adalah dengan membubarkan Dun sekiranya Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah masih tidak berkenan dengan calon dikemukakan PR sebagai Menteri Besar Selangor.

Beliau berpendapat, senario sekarang lebih cenderung kepada pembubaran Dun untuk menyelesaikan kemelut itu.

“Namun Dun hanya boleh dibubarkan jika Sultan bersetuju di atas nasihat menteri besar sekarang.

“Selagi Abdul Khalid belum menghadap Sultan dan Dun tidak bersidang, selagi itu jawatannya masih sah,” katanya.

Majlis Pimpinan PR semalam, sebulat suara memilih Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Keputusan itu dicapai selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mencalonkan Dr Wan Azizah dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar.

Azmi berkata, dalam keadaan sekarang, Abdul Khalid hanya mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan atau membubarkan Dun.

“Jika Sultan perkenan Dr Wan Azizah kerana majoriti sokongan, maka beliau (Abdul Khalid) perlu meletakkan jawatan dengan sukarela.

“Tetapi jika bubar Dun menjadi penentunya, maka PRN perlu diadakan sebagai penentu terbaik,” katanya.