• Abdul Khalid Ibrahim Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diberi tempoh sehingga 8 Ogos ini untuk mengemukakan surat tunjuk sebab kepada Biro Politik PKR selepas beliau didakwa mengingkari keputusan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 21 Julai lalu.

Pengerusi Lembaga Disiplinnya, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata tindakan ke atas Abdul Khalid itu diputuskan dalam mesyuarat khas Biro Politik pada Ahad lalu akibat keengganannya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

"Mesyuarat khas Biro Politik pada 3 Ogos 2014 telah membincangkan perkara ini dan mengarahkan Lembaga Disiplin untuk mengeluarkan satu surat tunjuk sebab kepada Abdul Khalid.

"Beliau perlu menjawab surat tunjuk sebab tersebut sebelum atau pada 8 Ogos 2014," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 22 Julai lalu, PKR telah menamakan Presidennya,  Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Abdul Khalid.

Pengumuman itu dilakukan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat MPP parti itu pada 21 Julai lalu.

Keputusan PKR itu juga telah dibentang dan diterima dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 23 Julai lalu.

Dalam pada itu, Kee Kwong menambah, keputusan penukaran menteri besar itu juga telah diputuskan pada 15 Januari lalu dalam mesyuarat khas MPP parti itu.

"Berdasarkan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bertarikh 15hb Januari 2014 telah bersetuju dengan keputusan pertukaran Menteri Besar Selangor.

"Namun kenyataan media Tan Sri Khalid Ibrahim pada 22 Julai 2014 secara terang-terangan telah mengingkari keputusan Mesyuarat Khas MPP tersebut dengan menyatakan keengganan beliau meletak jawatan Menteri Besar Selangor," katanya lagi.