• Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan termeterainya Perjanjian Dasar Induk antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan sebagai satu kemenangan besar buat rakyat negeri itu.

Menurutnya, penandatanganan Perjanjian Antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Selangor hari ini adalah untuk memuktamadkan pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Air Selangor dan pembinaan Projek Langat 2.

“Dengan termeterainya "Heads of Agreement" ini menandakan rundingan penstrukturan semula industri air di Selangor yang telah diusahakan semenjak 2006 sudah hampir ke penghujungnya dan mencapai kejayaan.

“Ini merupakan satu kemenangan besar kepada rakyat Selangor dan Malaysia yang selama ini menyokong penuh usaha-usaha kerajaan negeri untuk mengambil alih perkhidmatan bekalan air daripada syarikat konsesi air dan mengembalikan semula hak air kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam majlis menandatangani perjanjian itu, kerajaan Persekutuan diwakili oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Abdul Khalid juga menyebut bahawa tawaran RM9.65 billion yang diberikan kepada pihak konsesi adalah adil dan munasabah tanpa merugikan syarikat-syarikat yang terlibat

“Kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan tawaran pengambilalihan kesemua syarikat konsesi air.

“Setakat ini hanya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad (Splash) sahaja yang masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Jelasnya, penyelesaian secara holistik ini akan memberi perkhidmatan air yang lebih cekap dengan kadar tarif yang munasabah dan tidak membebankan pengguna.

“Kejayaan mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas)  akan membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kerja-kerja menaik taraf saluran paip air dengan tujuan menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW) yang pada ketika ini sangat tinggi iaitu 34%.

“Manakala kejayaan mengambil alih semua loji rawatan air (WTP) akan membolehkan kita melaksanakan langkah-langkah untuk meningkatkan kapasiti loji-loji tersebut dengan mengguna pakai teknologi terkini.

“Selain daripada itu, kejayaan pembinaan terowong bawah tanah bagi mengalirkan air dari Pahang ke Sungai Langat dan memindahkannya ke Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akan menamatkan masalah kekurangan air mentah di kedua-dua sungai tersebut,” katanya.