• anwar hadi kit siang
1 / 1
SHAH ALAM – Pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat sepakat untuk mengukuhkan kembali semangat setia kawan dan meneruskan agenda reformasi mereka selepas sering berlaku perselisihan faham antara anggota parti komponen sejak kebelakangan ini.

Melalui satu kenyataan bersama, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengakui perselisihan itu berlaku bagi isu kepimpinan di Selangor.

“Menyedari bahawa mutakhir ini timbul perselisihan faham di kalangan anggota-anggota parti komponen PR, terutama berkisar isu kepimpinan di Selangor yang masih dalam proses penyelesaian.

“...semangat persefahaman dan setia kawan PR merupakan asas kekuatan dan keutuhan perjuangan membawa perubahan dan agenda reformasi dalam persada politik, sosial dan ekonomi di negara tercinta,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, PR bertegas untuk meneruskan perjuangan dengan mengukuhkan persefahaman dan setia kawan koalisi politik dalam kerangka Dasar-Dasar Bersama mereka.

“Kami juga komited untuk mendepani isu-isu berbangkit mutakhir ini secara kolektif, berani, berprinsip dengan berteraskan nilai-nilai sejagat yang dikongsi bersama.

“Demi memenuhi amanah dan menggalas tanggungjawab yang telah diberikan rakyat,” katanya.