• Muktamar
1 / 1
BATU PAHAT - Di sebalik pendirian Pas beristiqamah dalam tahaluf siyasi dengan PR, namun parti itu mengingatkan rakan komponen bahawa Pas tidak rugi jika syarat kerjasama politik itu dicabuli.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hanya mereka (parti) yang konsisten menghormati syarat tahaluf siyasi itu sahaja akan selamat.

"Dalam semua keadaan, Pas tidak pernah rugi, kerana kita sentiasa beristiqamah di atas dasar yang kukuh dan matlamatnya yang nyata.

"Hanya mereka yang beristiqamah bersama Pas sahaja yang selamat, mereka yang tidak istiqamah jatuh berguguran di sepanjang perjalanan kita," katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Muktamar Pas Pusat, di Parit Raja, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas pernah bersendirian dalam berpolitik dan bertahaluf dengan pihak lain sama ada dalam kerajaan atau tanpa kerajaan.

"Jangan ada orang yang merasakan dirinya cukup kuat, tidak sabar dalam perjuangan, merasa sangat bijak dan boleh sewenang-wenang menyanggah dasar dan matlamat perjuangan kita," tegasnya lagi.