• Tajuddin (dua,kiri) menerima cenderamata dari Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Ab Rahman Ismail. Tajuddin (dua,kiri) menerima cenderamata dari Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Ab Rahman Ismail.
1 / 1
GURUN - Kerajaan sedia membantu pemilik pokok ketum yang ingin mengubah kepada tanaman lain sebagai sumber pendapatan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahmam berkata, tindakan itu sebagai alternatif selepas kerajaan menggubal akta daun ketum bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sekiranya pemilik pokok ketum ingin menggantikannya dengan tanaman lain, kerajaan sedia membantu.

“Kita mempunyai pelbagai skim yang boleh digunakan untuk membantu mereka yang berminat berbuat demikian,” katanya selepas melawat kilang Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan akan mengkaji semula keperluan pembayaran pampasan atau ganti rugi kepada pemilik pokok ketum yang perlu ditebang selepas penguatkuasaan akta baru.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan undang-undang daun ketum bawah Akta Dadah Berbahaya dijangka dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun hadapan.

Beliau berkata, pewartaan undang-undang itu diserahkan kepada peguam negara untuk ditandatangani.